AM

Hidup Sejahtera Menuju Penuaan: Hadapi Usia Emas Dengan Yakin

11/10/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Masalah kesihatan khusus dihadapi wanita semasa penuaan seperti perubahan tahap hormon, menopaus dan keadaan lain seperti prolaps organ pelvis (peranakan jatuh) inkontinens urinari (kencing tidak lawas) dan kanser, amat penting untuk ditangani.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa wanita secara amnya mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding lelaki dengan purata lima tahun lebih lama justeru menyebabkan wanita lebih cenderung untuk menghadapi lebih banyak masalah kesihatan seiiring peningkatan usia. 

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Nor Elyana Noordin berkata antara perubahan paling ketara dilalui wanita apabila usia semakin meningkat ialah peralihan kepada menopaus yang lazimnya berlaku antara usia 45 dan 55 tahun.

“Semasa fasa ini, badan mengalami perubahan hormon yang ketara, termasuk penurunan ketara pengeluaran estrogen dan progesteron.

“Penurunan hormon ini boleh mencetuskan gejala seperti badan panas, berpeluh malam, kekeringan faraj dan perubahan emosi yang mendadak (mood swing). Lama-kelamaan, ini boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius, seperti osteoporosis dan peningkatan risiko kardiovaskular,” katanya.

Penurunan tahap estrogen boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa hubungan intim, selalunya disebabkan oleh kekeringan faraj dan pengurangan keanjalan faraj, menurut Dr Elyana.

Beberapa kaedah boleh dipertimbangkan bagi menangani gejala ini seperti pelincir berasaskan air, pelembap faraj dan Terapi Penggantian Hormon (HRT).

HRT membantu meningkatkan estrogen yang bukan sahaja mengurangkan simptom seperti kekeringan dan memulihkan rasa tidak selesa semasa hubungan intim, malah membantu menangani badan panas dan gejala mood swing.

Kenyataan itu menyebut menopaus juga boleh membawa kepada prolaps organ pelvis (POP) iaitu keadaan otot dan tisu yang menyokong lantai pelvis menjadi lemah, menyebabkan organ beralih daripada kedudukan biasa.

Wanita yang pernah bersalin lebih terdedah kepada keadaan ini, namun ia juga boleh berlaku pada mereka yang tidak pernah melahirkan anak. Keadaan ini lazimnya berlaku pada wanita selepas menopaus kerana penurunan tahap estrogen yang menjejaskan kekuatan dan keanjalan tisu pelvis.

Menurut Dr Elyana, simptom POP termasuk rasa berat atau tekanan pada kawasan pelvis, bonjolan yang kelihatan dan terkeluar pada faraj, kencing tidak lawas dan ketidakseleseaan semasa hubungan intim.

“Wanita juga mungkin hilang kawalan pundi kencing atau masalah usus seperti sembelit dan sakit pinggang dan kesukaran melakukan aktiviti fizikal yang melibatkan mengangkat, membongkok atau berdiri untuk tempoh yang lama. Ini boleh menjejaskan senaman, kerja rumah dan aktiviti berkaitan kerja,” katanya.

POP masih tidak dibincangkan kerana malu atau salah tanggapan tentang penuaan, walaupun keadaan itu menjejaskan seorang daripada 10 wanita berusia lebih 50 tahun. Langkah awal bagaimanapun boleh mencegah keadaan itu menjadi bertambah buruk. 

Sementara itu, Pakar Perunding dan Pakar Bedah Payudara, Endokrin dan Pembedahan Am SMCV Dr Tan Yee Ling berkata penurunan tahap pengeluaran estrogen ketika menopaus boleh menyebabkan perubahan seperti pelembutan tisu payudara dan sedikit pengenduran.

Payudara berubah dengan perubahan usia dan perubahan hormon bermula daripada akil baligh hingga remaja, kehamilan, menyusu dan diikuti dengan keadaan menopaus. Payudara berubah daripada pejal dan padat menjadi kendur menuju menopaus.

"Wanita mungkin mengalami rasa sakit atau berdenyut pada payudara mereka pada masa ini. Walaupun ini gejala menopaus biasa, penting untuk berunding dengan doktor pakar jika terdapat sebarang ketulan atau pengeluaran cecair dari puting payudara," katanya sambil menambah kanser payudara ialah kanser paling biasa menyerang wanita di Malaysia dengan kadar kelaziman satu dalam 19 wanita, menyumbang 32.9 peratus daripada kesemua kes kanser.

Walaupun risiko kanser lebih tinggi untuk wanita berumur 50 tahun ke atas, hampir separuh daripada kes didiagnosis pada mereka yang berumur di bawah 50 tahun sekali gus menekankan kepentingan pemeriksaan berkala dari usia muda.

Lebih membimbangkan, 47.9 peratus daripada kanser payudara didiagnos pada peringkat lewat (peringkat tiga atau empat), justeru mengurangkan kejayaan rawatan dan pemulihan dengan ketara. 

"Pengesanan awal amat penting bagi prognosis yang lebih baik dan akses kepada lebih banyak pilihan rawatan. Pemeriksaan sendiri dan mamogram yang kerap di rumah penting selepas umur 40 tahun untuk memeriksa sebarang keabnormalan seperti ketulan, perubahan dalam bentuk payudara atau discaj luar biasa daripada puting.

"Walaupun sesuatu benjolan tidak menyakitkan, amat disyorkan untuk mendapatkan nasihat perubatan untuk penilaian lanjut," katanya.

Bagi wanita yang mempunyai sejarah keluarga bagi kanser payudara atau risiko genetik lebih tinggi, Dr Tan menyarankan pemeriksaan awal atau ujian genetik untuk mengesan kanser pada peringkat awal.

Langkah saringan proaktif ini meningkatkan peluang mengesan jangkitan kanser pada peringkat awal, membolehkan rawatan dilakukan tepat pada masanya sekali gus memperoleh hasil yang lebih baik.

Menjejaki peningkatan usia, keperluan kesihatan wanita menjadi lebih kompleks justeru memerlukan pendekatan proaktif untuk menguruskan perubahan yang tidak dapat dielakkan berkaitan penuaan. 

Keadaan seperti perubahan hormon, peranakan jatuh, kencing tidak lawas dan kanser payudara sering tidak dibincangkan kerana stigma, kurang kesedaran atau rasa malu.

“Penting bagi wanita menyedari kepentingan mendapatkan pemeriksaan kesihatan awal dan mengambil tahu pelbagai pilihan rawatan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Dengan penjagaan perubatan profesional dan strategi pengurusan penyakit yang berkesan, wanita dapat melalui proses penuaan dengan yakin, mengekalkan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental mereka," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan