Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 11 Okt (Bernama) -- Agensi imigresen Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali menahan seorang warga China dalam Senarai Paling Dikehendaki Interpol kerana jenayah kewangan berskala besar pada 1 Okt ketika dia cuba meninggalkan pulau percutian itu.
Suspek dikaitkan dengan kes penipuan besar di China, yang dia didakwa mengumpul lebih daripada 100 bilion yuan China (sekitar US$14.1 bilion) daripada lebih 50,000 mangsa melalui skim pelaburan yang menipu.
Dikenal pasti sebagai LQ, dia dilaporkan memperdaya individu dengan janji pulangan modal dan faedah palsu, menawarkan pulangan tahunan yang menarik enam hingga 10.1 peratus.
"LQ ditahan di pintu masuk lapangan terbang selepas cuba meninggalkan Indonesia menggunakan pasport Turkiye di bawah nama Joe Lin," kata Ketua Pengarah Imigresen Silmy Karim dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pegawai bertindak atas notis merah yang dikeluarkan oleh Interpol pada 27 Sept dan menggunakan pengecaman wajah untuk mengenal pasti LQ setibanya di Bali pada 26 Sept dengan nombor pasport Turkiye U23358200, menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ0944.
"Sebaik sahaja kami mengesahkan bahawa identiti LQ sepadan dengan profil seorang penumpang bernama Joe Lin, kami segera memasukkannya dalam senarai pencegahan untuk memudahkan penangkapannya," tambah Silmy.
Selepas tiga hari ditahan di Pejabat Imigresen Ngurah Rai, LQ dipindahkan ke Direktorat Jeneral Imigresen pada 4 Okt dan diserahkan kepada Interpol pada Khamis (10 Okt).
Silmy mengesahkan bahawa sistem imigresen Indonesia disepadukan sepenuhnya dengan Sistem Komunikasi Polis Global Interpol, yang beroperasi 24/7.
Beliau juga mengulangi bahawa republik itu bukan tempat perlindungan selamat bagi pelarian antarabangsa dan berjanji usaha berterusan untuk meningkatkan sistem keselamatan sempadan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial