TOKYO, 12 Okt (Bernama-Kyodo) -- Sumitomo Life Insurance Co. melancarkan polisi insurans khusus untuk menampung kos rawatan masalah mata, yang tersedia eksklusif bagi mereka yang membeli kanta lekap pakai buang yang dijual oleh unit Jepun, keluaran syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat, Johnson & Johnson, lapor Agensi Berita Kyodo.
Produk itu ditawarkan secara percuma kepada pengguna 'Acuvue' jika syarat tertentu dipenuhi, merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri insurans hayat Jepun, menurut syarikat insurans itu.
"Memamori Hoken" menyediakan bayaran sekali sebanyak 5,000 yen ($34) untuk menampung kos rawatan mata, termasuk kemasukan ke hospital, pembedahan atau ubat titis mata yang disarankan.
Polisi ini sah untuk satu tahun dan tersedia kepada individu berusia 18 hingga 59 tahun. Johnson & Johnson akan menanggung premium insurans itu.
Pelanggan yang layak, setelah membeli jumlah kanta lekap Acuvue yang ditetapkan, boleh mengakses insurans melalui aplikasi keahlian Johnson & Johnson, dengan pendaftaran diselesaikan di laman web Sumitomo Life. Tuntutan bayaran juga boleh dikemukakan melalui telefon pintar.
Menurut tinjauan oleh Johnson & Johnson, semakin ramai golongan muda di Jepun melaporkan kesihatan mata yang merosot, dengan sebahagian daripada mereka memilih untuk tidak mendapatkan rawatan kerana merasakan sukar untuk ke hospital.
"Dengan menawarkan insurans ini, kami berharap dapat mengurangkan halangan untuk mendapatkan rawatan dan memanjangkan jangka hayat kesihatan mata," kata seorang pegawai Johnson & Johnson.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial