SUKAN

Meskipun Kesakitan, Syed Saddiq Berjaya Tamatkan Kejohanan Ironman Malaysia

12/10/2024 11:46 PM

LANGKAWI, 12 Okt (Bernama) -- Walaupun terpaksa menahan kesakitan untuk tiba ke garisan penamat Ironman Malaysia akibat terlanggar dahan pokok tumbang, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan penyertaan sulungnya di kejohanan itu dalam tempoh lebih 13 jam.

Syed Saddiq, 31, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, berjaya menghabiskan ketiga-tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal sejauh 180km serta larian sejauh 42.2km.

"Sebelum kejadian, hujan lebat berserta ribut telah menyebabkan pokok berkenaan tumbang dan menghalang keseluruhan laluan jalan raya… masa itu, saya sedang lakukan disiplin berbasikal dan ada seorang atlet di sebelah kanan saya.

“Pada masa sama, ada kereta yang lalu di situ, jadi takkan saya hendak tolak atlet berkenaan. Masa itu juga laluan menurun dan kelajuan dalam 30 kilometer per jam, jadi memang tidak dapat buat apa-apa," katanya ketika kepada pemberita di garisan penamat Kejohanan Ironman Malaysia di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata semasa terjatuh, hanya satu perkara yang terlintas dalam minda iaitu adakah kejadian itu akan menjadi penamat buat dirinya dalam kejohanan tersebut sebelum beliau nekad untuk terus bangun meneruskan baki disiplin berbasikal dan larian.

"Mak saya tidak didik saya untuk berputus asa, semasa larian itu memang sakit sangat… bila jatuh dari basikal, tangan lebam dan perut kejang manakala kaki kanan sakit akibat impak terlanggar pokok, jadi memang sukar hendak kekalkan momentum.

"Dalam minda hanya mahu habiskan kejohanan ini sahaja walaupun saya hilang kira-kira 30 minit akibat kejadian itu tetapi saya tetap bersyukur kerana tidak ada tulang yang patah… hanya lebam dan berdarah sahaja tetapi itu perkara biasa," katanya.

Syed Saddiq yang disambut oleh ibu, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, 64, dan bapa, Syed Abdul Rahman Abdullah, 71, sebaik tiba di garisan penamat berkata beliau mendedikasikan pingat Ironman Malaysia buat mereka kerana memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya.

"Ini juga hadiah untuk bapa saya sempena hari lahirnya pada 31 Okt depan, mereka yang mendidik saya untuk menjadi seorang pejuang… terima kasih juga kepada semua sukarelawan yang cepat membantu saya semasa kejadian, mereka sanggup cabut duri yang melekat di bahagian badan saya satu per satu.

"Walaupun kejadian ini berlaku dalam penyertaan sulung, 110 peratus saya akan menyertai Ironman Malaysia lagi pada tahun hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan