EKONOMI

Industri Perbankan Optimis Inisiatif Strategik Seimbang Dalam Belanjawan 2025 - RHB

13/10/2024 10:17 AM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- RHB Banking Group menjangkakan Belanjawan 2025 akan membentangkan inisiatif strategik seimbang yang menangani keperluan segera ekonomi dan juga meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan masa depan.

Pemangku ketua ahli ekonomi kumpulan, Barnabas Gan berkata keutamaan utama pelaburan adalah dalam projek infrastruktur kritikal, khususnya pengangkutan, utiliti dan infrastruktur digital, yang penting untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan merangsang aktiviti ekonomi merentas pelbagai sektor.

“Penting untuk memupuk daya tahan jangka panjang, keterangkuman kewangan dan memacu trajektori pertumbuhan mampan Malaysia,” katanya kepada Bernama mengenai harapan beliau bagi Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan pada 18 Okt, 2024.

Gan juga berharapkan langkah-langkah bersasar yang akan menyokong komuniti kurang mendapat perkhidmatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan dan nilai.

Beliau berkata dana khas, jaminan pinjaman dan subsidi faedah akan menjadi faktor penting dalam memastikan perniagaan ini boleh mengakses perkhidmatan kewangan, membolehkan mereka berkembang maju dalam iklim ekonomi semasa.

Mengenai kemampanan, Gan berkata industri perbankan yakin pembiayaan hijau dan inisiatif mampan akan mendapat sokongan padu sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

“Kami menjangkakan insentif cukai dan dasar kewangan yang diperkukuhkan yang akan menggalakkan sektor awam dan swasta untuk melaksanakan amalan mampan, terutamanya dalam tenaga boleh baharu dan pelaburan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus lain.

“Insentif pembiayaan hijau, termasuk pelepasan cukai untuk deposit hijau jangka panjang dan projek tenaga boleh baharu, akan menjadi penting dalam mempercepat peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon,” katanya.

Gan juga mencadangkan lebih banyak langkah bantuan bersasar untuk individu dan perniagaan yang menghadapi masalah kewangan di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup serta peluasan program subsidi, skim perumahan mampu milik, dan jaringan keselamatan sosial yang dipertingkatkan.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan penggalakan celik kewangan dan penyelesaian pembiayaan mampu milik untuk membantu pengguna menangani tekanan inflasi sambil memupuk tabiat kewangan berhemat.

“Belanjawan 2025 memberi peluang kepada pihak berkepentingan dalam seluruh industri untuk bekerjasama bagi memupuk pertumbuhan mampan dan keterangkuman kewangan.

"Kami percaya pendekatan strategik dan berpandangan kehadapan akan membolehkan Malaysia mengharungi ketidaktentuan ekonomi global sambil menjadikan negara lebih makmur dan berdaya tahan," kata Gan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan