EKONOMI

Belanjawan 2025 Ambil Kira Cadangan Pelbagai Industri, Rakyat Akar Umbi

13/10/2024 10:52 AM

PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Proses libat urus Belanjawan 2025 telah dilaksanakan di semua negeri bagi memastikan kerajaan mengambil kira pandangan serta cadangan pelbagai pihak, industri dan rakyat di peringkat akar umbi.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican berkata pihaknya kini dalam proses memuktamadkan ucapan dan langkah belanjawan yang akan diumum kelak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat ini (18 Okt). Beliau telah melaksanakan pelbagai libat urus dengan pihak berkepentingan. Pihak kami (kini) dalam proses memuktamadkan ucapan dan langkah belanjawan yang akan diumum kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas acara Larian Kewangan 2024 yang dianjurkan sempena Hari Sukan Negara, di sini, hari ini.

Johan berkata selain mengadakan majlis libat urus di Kementerian Kewangan, program tersebut turut dilaksanakan dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Kulim, Kedah dan sektor industri sawit di Ipoh pada minggu lepas.

Pada 7 Okt lepas, Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau berkata lebih banyak penambahbaikan struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2026 untuk memastikan pertumbuhan pesat ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat secara saksama.

Belanjawan 2025 bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" itu adalah belanjawan ketiga yang digarap Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum menginjak ke RMKe-13 bagi tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan