AM

Agong, Raja Permaisuri Berkenan Bertemu Rakyat Malaysia Di Brunei

14/10/2024 12:10 AM

Daripada Haslinda Zainal

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan bertemu rakyat Malaysia di Brunei dalam Majlis Santap Petang di sini, hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua berangkat tiba di Brunei pada 11.25 pagi tadi untuk memulakan lawatan negara selama tiga hari hingga Selasa.

Berangkat sama Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan.

Kira-kira 300 diaspora Malaysia hadir dalam majlis berkenaan antaranya ahli perniagaan, Persatuan Warganegara Malaysia dan Persatuan Kebajikan Melayu Se-Malaysia.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyertai sesi bergambar bersama warga Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei dan sempat beramah mesra serta bersalaman dengan diaspora Malaysia sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Terdahulu, Mohd Aini dalam ucapan alu-aluan berkata keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua merupakan manifestasi kepada keutuhan dan keistimewaan hubungan dua negara bersaudara, selain menjadi sorotan utama dalam memperingati ulang tahun ke-40 penubuhan diplomatik Malaysia-Brunei tahun ini.

Beliau berkata kira-kira 25,000 komuniti Malaysia di Brunei melakar pencapaian dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi yang menyaksikan rakyat Malaysia merupakan antara tonggak utama kepada perniagaan-perniagaan besar di negara ini.

“Ramai juga golongan profesional dari Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor seperti perubatan, pendidikan, guaman, kewangan, pembinaan, teknologi maklumat dan sebagainya,” katanya.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan katanya, sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di negara ini kekal terpelihara.

Mohd Aini berkata kendatipun di perantauan, kesetiaan kepada raja dan negara kekal subur dalam sanubari rakyat Malaysia di Brunei.

“Patik mewakili rakyat Malaysia di negara ini menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku. Semoga ikatan kasih sayang antara raja dan rakyat terus utuh merentasi pelosok dunia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Warganegara Malaysia di Brunei Azlan Ahmad berkata pihaknya amat berbesar hati dan teruja kerana dapat bertentang mata dengan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah yang mengadakan lawatan negara pertama ke Brunei selepas menaiki takhta pada 31 Jan lepas.

“Kami gembira kerana Seri Paduka Baginda berdua sudi mencemar duli bertemu rakyat Malaysia, ahli persatuan yang tidak dapat hadir juga berkongsi kegembiraan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata persatuan itu ditubuhkan lebih 30 tahun lepas dan mempunyai lebih 5,000 ahli berdaftar manakala 554 ahli aktif yang terdiri daripada golongan profesional, pelajar, pensyarah dan ahli perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan