KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan dana RM100 juta kepada platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) terkemuka di Malaysia, dengan bahagian terbesar diberikan kepada microLEAP.
MicroLEAP adalah platform pembiayaan P2P yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Menerusi kenyataan pada Isnin, microLEAP menjelaskan peruntukan itu, yang merupakan sebahagian daripada Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF), mencerminkan keyakinan TERAJU terhadap peranan penting pihaknya dalam memajukan landskap ekonomi bumiputera.
“Program i-WCPF, yang disesuaikan khusus untuk perusahaan bumiputera, menyediakan penyelesaian pembiayaan Islam yang inovatif, termasuk pembiayaan prainvois dan pascainvois berdasarkan prinsip Syariah Komoditi Murabahah melalui Tawarruq,” tambahnya.
MicroLEAP memaklumkan dana itu menyasarkan sektor berpotensi tinggi seperti, tetapi tidak terhad kepada, tenaga boleh baharu (TBB), teknologi dan digital, elektrik dan elektronik, pertanian dan berasaskan agro, serta industri logam nadir.
Usaha itu akan membolehkan perniagaan mencapai pertumbuhan mampan pada kadar keuntungan kompetitif, mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan konvensional, tambahnya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata pembiayaan itu merupakan detik penting bagi pihaknya, kerana membolehkan microLEAP memberikan impak nyata kepada komuniti bumiputera.
“Hubungan sekian lama kami dengan TERAJU menjadi kunci dalam merealisasikan inisiatif ini, dan bersama-sama, kami komited untuk memperkasakan usahawan bumiputera dengan sumber yang mereka perlukan untuk meningkatkan penyertaan dalam ekonomi tempatan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata pelaburan itu sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2021-2030, sekali gus mengukuhkan komitmen TERAJU untuk berkhidmat kepada komuniti bumiputera.
“Melalui kerjasama seperti ini, kami bukan sahaja memberi sokongan kewangan malah juga membangunkan ekosistem yang kukuh apabila usahawan bumiputera dapat berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada kemakmuran Malaysia,” katanya.
MicroLEAP menerusi pejabat yang ditubuhkan di dalam dan di luar Lembah Klang -- Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, dan Perak -- berada dalam kedudukan unik untuk menyediakan perkhidmatan pembiayaan yang mudah diakses di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial