EKONOMI

MIDA Jalinkan Pelabur Dengan Bakat Tempatan Menerusi Laluan Inovatif - Ceo

15/10/2024 11:32 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat memetakan laluan inovatif dan strategik, menghubungkan pelabur serta peserta industri dengan bakat tempatan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata tumpuan utama adalah memupuk hubungan yang lebih kukuh dengan pihak universiti teknikal Malaysia dan menggalakkan perancangan bakat yang dinamik untuk masa depan.

Sebagai agensi utama negara yang bertanggungjawab mempromosikan dan memudahkan pelaburan asing dan domestik di Malaysia, MIDA menyokong pelabur dengan membantu mereka mendapatkan bakat melalui rangkaian luas universiti tempatan dan institusi latihan.

Beliau berkata MIDA juga memudahkan peranan apabila kalangan pakar tempatan masih di peringkat sedang dibangunkan, di samping membantu mendapatkan tenaga kerja ekspatriat yang diperlukan selain menggalakkan pertumbuhan bakat tempatan.

Dari 2021 hingga 2023, MIDA memudahkan penciptaan kira-kira 150,000 peluang pekerjaan melalui 2,386 projek pembuatan yang diluluskan, dengan lebih 81 peratus daripada projek itu telah dilaksanakan.

“Kebanyakan jawatan ini menawarkan peranan bergaji tinggi untuk bakat Malaysia yang mahir,” katanya.

 

MIDA Urus Bakat Khusus untuk Syarikat Berkembang di Malaysia

 

Sikh Shamsul Ibrahim berkata sejak awal 2023, MIDA telah menerajui inisiatif untuk membangunkan kemahiran kejuruteraan perisian khusus, terutama dalam perisian terbenam untuk sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Inisiatif itu merupakan kerjasama yang melibatkan pihak berkepentingan utama seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Nexus Produktiviti E&E di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), MIMOS Bhd, universiti dan syarikat E&E tempatan.

Kesemua pihak itu bersama-sama memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab untuk kemajuan teknologi.

MIDA, dengan kerjasama KPT, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan golongan lepasan pengajian tinggi yang berkemahiran, meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbaik dunia pada 2033, seperti yang disasarkan menerusi Kerangka Ekonomi MADANI.

Pemeteraian itu turut menampilkan MoU mengenai pembangunan tenaga kerja dengan Micron Memory Malaysia, Stellantis Gurun dan Inari Technology, bertujuan meningkatkan kebolehpasaran lepasan pengajian tinggi dan meningkatkan daya saing industri Malaysia.

Dari segi digital, MIDA bersama-sama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), memudahkan pelaburan digital bernilai RM144.7 bilion dari 2021 hingga 2023, mewujudkan 39,231 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah itu, RM114.7 bilion dilaburkan dalam mewujudkan pusat data oleh syarikat seperti Amazon, GDS, YTL dan ByteDance.

“Semua usaha ini menyerlahkan kepentingan Malaysia yang semakin ketara dalam ekonomi digital dan peranan strategik kami dalam membangunkan ekosistem bakat yang kukuh yang menyokong pelabur tempatan dan asing,” katanya.

 

Peranan MIDA dalam Pengurusan Bakat Industri

 

Tenaga kerja Malaysia secara konsisten antara yang paling berdaya saing di dunia, yang dikenali sebagai berpendidikan tinggi dan berkemahiran. Negara ini komited kepada latihan tenaga kerja yang berterusan untuk kekal responsif terhadap permintaan perniagaan yang berkembang dan kemajuan teknologi.

“Sektor awam dan swasta kita bekerjasama untuk membangunkan kumpulan bakat yang mampan untuk industri berfokuskan masa depan,” katanya.

Selain usaha promosi, MIDA berperanan penting dalam menguruskan bakat industri melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan penawaran bakat yang mampan, terutama dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi termaju.

MIDA membantu pelabur untuk mengenal pasti dan mendapatkan bakat bersesuaian, memudahkan program latihan dan menyediakan panduan mengenai dasar dan insentif yang berkaitan.

MIDA turut memupuk kerjasama dalam kalangan industri, ahli akademik, dan kerajaan untuk menangani keperluan bakat, merapatkan jurang kemahiran, dan menyelaraskan program pendidikan dan latihan dengan permintaan masa depan industri.

 

Eksplorasi Kerja MIDA @ MITI Day 2024

 

Sikh Shamsul Ibrahim menekankan bahawa pameran kerjaya itu bertujuan memberi peluang kepada siswazah dan pencari kerja untuk meneroka pelbagai peluang kerjaya daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.

Program itu membolehkan para peserta untuk bertukar-tukar maklumat, rangkaian, dan mendapat tahu mengenai laluan kerjaya yang berpotensi, membantu mereka untuk membuat keputusan yang tepat dan berhubung dengan bakal majikan.

Ia dihadiri lebih 2,000 peserta terutama siswazah daripada pelbagai institusi di seluruh Malaysia manakala 22 syarikat menawarkan lebih 2,600 peluang pekerjaan dan latihan amali.

Antara syarikat multinasional yang hadir adalah Stellantis, Base Maintenance Malaysia, Texas Instruments, TF AMD, Shopee dan Bytedance.

Syarikat industri tempatan seperti Proton, Pentamaster, YTL DC dan Straits Orthopaedics turut menyertai pameran kerjaya itu.

Syarikat-syarikat itu menerima lebih 1,000 resume dan melaksanakan hampir 300 temuduga di lapangan.

Selepas program berkenaan, syarikat akan terus menghubungi calon yang berpotensi untuk sesi temu duga selanjutnya berdasarkan resume yang diterima.

"Acara ini menggariskan kejayaan kerjasama antara ahli akademik dan industri. MIDA kekal komited untuk menyokong pembangunan bakat tempatan dan merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan," kata Sikh Shamsul Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan