DUNIA

Dua Anjing Rottweiler Cuba Dibawa Masuk Ke Dalam Negara Guna Permit Palsu

15/10/2024 11:10 AM

SEPANG, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyekat kemasukan dua ekor anjing baka Rottweiler yang merupakan kategori baka terhad yang cuba dibawa masuk dari Belanda menggunakan permit palsu, Sabtu lepas.

Pengarah MAQIS Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata haiwan itu dikesan selepas pihaknya membuat pemeriksaan di tapak pemeriksaan MAQIS FCZ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, susulan dokumen Permit Import MAQIS yang dikemukakan didapati meragukan.

Beliau berkata semakan lanjut berdasarkan nombor rujukan permit dalam sistem iMAQIS mendapati permit yang dikemukakan adalah palsu, disunting menggunakan permit import yang telah digunakan sebelum ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengisytiharkan dokumen yang palsu, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Mohd Sobri berkata mana-mana pengimport yang ingin membawa masuk anjing kategori baka terhad ke dalam negara perlu mendapatkan surat kelulusan khas daripada Ketua Pengarah MAQIS.

"Pihak jabatan perlu membuat penilaian berdasarkan justifikasi membawa masuk anjing yang dikemukakan oleh pemohon sebelum memberikan kelulusan," katanya.

Beliau berkata selain itu pengimport juga perlu memohon Permit Import dan mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MAQIS, bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan