DUNGUN, 15 Okt (Bernama) -- Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu, didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Norizan Ismail, 49, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, pada 7.35 malam, 9 Okt di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu kepada tiga anak itu.
Jika sabit kesalahan wanita itu boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, namun jika tidak dihukum mati dia hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Norizan ketika memasuki mahkamah menyatakan dirinya malu dan enggan berdiri dalam kandang tertuduh ketika diminta jurubahasa untuk menyebut nama dan nombor kad pengenalannya, namun kemudiannya mengesahkan maklumat peribadinya yang ditayangkan di skrin televisyen mahkamah.
Setelah pertuduhan pertama dibacakan, Norizan menyatakan; “Saya terima saya dituduh” apabila disoal jurubahasa sama ada dia memahami pertuduhan tersebut.
Pengarah Pendakwaan Negeri Azizan Abdullah yang mengendalikan kes kemudiannya berkata tingkah laku tertuduh menunjukkan keadaan mentalnya, sebelum meminta jurubahasa membaca baki dua lagi pertuduhan.
Ketika pertuduhan kedua dibacakan Norizan telah mengangguk faham sebelum menggelengkan kepala selepas pertuduhan ketiga dibacakan, namun dia menganggukkan kepalanya selepas pertuduhan dibacakan semula.
Majistret Nur Amirah Fatihah Osman bertanya mengenai apa yang Norizan faham, dan wanita itu menjawab “Apa yang jurubahasa baca tadi. Saya dituduh langgar orang. Saya faham dia cakap. Tapi saya tidak tahu bunuh siapa.”
Azizan tidak menawarkan sebarang jaminan berkata tertuduh menunjukkan ciri-ciri ketidakwarasan termasuk ketika siasatan dijalankan dan memohon agar wanita itu dihantar untuk penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, sebelum dipersetujui peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin yang mewakili Norizan.
Nur Amirah Fatihah kemudian memutuskan Norizan hantar ke Hospital Permai Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan dan menetapkan 17 Nov untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada 7.35 malam pada Rabu, Norizan yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan telah merempuh empat pelajar UiTM Dungun hingga menyebabkan Ku Adib Aizad Ku Azmi, Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin meninggal dunia, manakala Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Norizan didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang pelajar UiTM Dungun pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Wanita itu didakwa melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan.
Norizan didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menetapkan 18 Nov untuk sebutan semula kes dan turut mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan dan pemerhatian mental selama sebulan di Hospital Permai Johor Bahru.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Ghazali Ismail.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial