AM

Kerajaan Akan Guna PADU Rangka RMK13 - Hanifah

15/10/2024 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan menggunakan data dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai input untuk merangka dasar dan hala tuju pembangunan sosioekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula 2026 hingga 2030.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pada masa ini, kerajaan menggunakan PADU untuk proses validasi permohonan sedia ada dan mengenal pasti peserta baharu bagi program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Kerajaan telah menggunakan data PADU bagi tujuan pengiraan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) dan pendapatan boleh guna bersih (NDI) untuk menambah baik pembentukan dasar dan program sosioekonomi serta meminimumkan ‘inclusion and exclusion error’.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber,” katanya menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai pelaksanaan PADU pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hanifah berkata pelaksanaan PADU kini berada di peringkat akhir Fasa 2 yang melibatkan integrasi data yang lebih terkini, analisis bagi penentuan kumpulan sasar dan pembentukan kes penggunaan.

“Pembukaan semula sistem PADU di bawah Fasa 2 ini bagi rakyat kemas kini maklumat masih lagi dalam peringkat perancangan. Ia bergantung kepada kes penggunaan dan mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan,” katanya. 

Pada April, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memaklumkan seramai 17.65 juta atau 58.7 peratus keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, berjaya dikemas kini dalam sistem PADU.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan