JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Eksekutif Kanan Syarikat Minyak Ditahan, Disyaki Terima Rasuah RM370,000

15/10/2024 07:10 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat petroleum dan gas kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM370,000.

Perintah reman empat hari dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada 5.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek ketika bertugas sebagai eksekutif kanan di sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada empat individu bagi membolehkan mereka dilantik sebagai konsultan pakar geologi untuk kerja-kerja syarikat tersebut.

“Kesemua individu terbabit dibayar antara RM750 hingga RM2,100 sehari bergantung kepada kadar bayaran konsultan pakar geologi dan tawaran yang diputuskan oleh syarikat suspek.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik suspek daripada akaun bank keempat-empat individu tersebut yang berjumlah antara RM150 hingga RM500 sehari,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan