EKONOMI

Penghantaran Pertama Pesawat A330neo Malaysia Aviation Group Ditangguhkan

15/10/2024 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Penghantaran pertama pesawat A330neo Malaysia Aviation Group (MAG) yang dijadualkan pada September 2024 telah ditangguhkan dan kini pesawat itu dijangka diserahkan selewat-lewatnya November 2024.

MAG, syarikat induk Malaysia Airlines berkata kelewatan itu disebabkan oleh penemuan yang dikenal pasti oleh Airbus semasa pesawat berada di hangar penyelenggaraan.

“Disebabkan kelewatan ini, MAG dengan kesal memaklumkan penerbangan sulung A330neo Malaysia Airlines yang dirancang ke Melbourne pada 25 Nov, 2024, bersama-sama dengan penerbangan berikutnya yang dijadualkan dengan A330neo akan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAG berkata syarikat penerbangan itu akan kembali menggunakan pesawat A330-300 untuk laluan berkenaan tanpa sebarang perubahan pada jadual penerbangan.

“MAG bekerjasama rapat dengan Airbus dan pemajaknya Avolon untuk mendapatkan garis masa penghantaran baharu dan mempercepatkan kemasukan pesawat tersebut ke dalam perkhidmatan.

“Syarikat penerbangan itu menjangkakan menerima lima pesawat A330neo menjelang suku pertama 2025,” katanya.

Mengenai baki penghantaran pesawat Boeing 737-8, MAG berkata kumpulan itu sedang berkomunikasi dengan Boeing dan syarikat pemajaknya AirLease Corp sambil memantau situasi yang sedang berkembang.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata kelewatan itu secara ketara mengganggu pelan pemodenan barisan pesawatnya dan keperluan pertumbuhan.

"Kami amat kecewa dengan kelewatan penghantaran pesawat oleh Airbus, ditambah lagi dengan kelewatan berterusan bagi penghantaran Boeing 737-8 kami," katanya.

Beliau menekankan penyediaan aset yang diperlukan adalah penting untuk memenuhi sasaran pertumbuhan MAG, mengoptimumkan rangkaian dan terus menyampaikan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada pelanggan apabila kumpulan itu mengambil langkah tegas ke arah yang lebih kukuh pada 2025.

Namun begitu, MAG berkata ia tetap komited terhadap rancangan pemodenan barisan pesawatnya dan menyediakan perkhidmatan yang luar biasa kepada para pelanggan.

"Kumpulan sedang berusaha bersungguh-sungguh dengan pengeluar pesawat dan pemajaknya untuk meminimumkan gangguan sambil memastikan standard keselamatan tertinggi terus dipenuhi," tambahnya.

MAG memilih sebanyak 20 pesawat A330neo untuk inisiatif pembaharuan barisan pesawat berbadan lebarnya pada 2022.

Dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 terbaharu, pesawat A330neo akan menyertai tujuh pesawat A350 jarak jauh dan secara beransur-ansur menggantikan 21 pesawat A330ceo.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan