AM

Tiga Penternak Lembu Kerugian RM20,000 Akibat Banjir Di Jasin

15/10/2024 07:59 PM

JASIN, 15 Okt (Bernama) -- Tiga penternak lembu di Kampung Serkam Darat di sini, mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas beberapa kelengkapan di kandang ternakan mereka rosak akibat banjir yang melanda daerah itu sejak semalam.

Mohd Zamri Salihin, 42, berkata kandang menempatkan 70 ekor lembu yang diusahakan bersama dua orang rakannya dinaiki air kira-kira 1.5 meter akibat hujan lebat.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk sekitar pada 3 pagi. Ketika sampai saya dapati anak-anak lembu yang baru berusia sebulan bergelut untuk berenang bersama lembu dewasa.

“Kami kemudian segera memindahkan kesemua tujuh anak lembu dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, rakannya Amin Ahmad, 55, berkata dia amat bersyukur kerana kesemua lembu ternakan mereka berjaya diselamatkan dan ditempatkan ke tempat lebih tinggi.

“Dalam situasi cemas itu saya dan Mohd Zamri sedaya upaya berenang ke dalam kandang dan cuba menarik seekor demi seekor anak lembu," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan