AM

Banjir Sungai Siput: Tak Sempat Selamatkan Barang, Penduduk Rugi Ribuan Ringgit

15/10/2024 11:16 PM

SUNGAI SIPUT, 15 Okt (Bernama) -- Banjir yang melanda Kampung Lintang di sini menyebabkan penduduk kerugian ribuan ringgit susulan kerosakan barangan rumah mereka yang tidak sempat diselamatkan.

Arbi Nik, 58, berkata bencana yang berlaku menyebabkan dia dan keluarganya mengalami kerugian lebih RM10,000 meliputi semua barang keperluan di rumah mereka.

Beliau berkata situasi itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak terbabit bagi memastikan ia tidak berulang.

“Memang tak seteruk 2014 tetapi banjir ini datang dengan lumpur yang menyebabkan banyak peralatan dalam rumah yang rosak teruk terutama barangan elektrik. Memang pening jugalah memikirkan keadaan ini.

“Saya minta jasa baik pihak yang terlibat supaya tengok punca sebenar dan harap ia dapat diatasi dengan lebih baik sebab kami yang tinggal di kampung ini penat untuk menghadapi situasi sama jika ia berulang,” katanya kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lasah di sini hari ini.

PPS itu dibuka sejak Ahad selepas beberapa kawasan di Daerah Kuala Kangsar dinaiki air akibat hujan lebat dan menempatkan 187 orang daripada 54 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Lasah, Kampung Tok Sirat serta Pekan Lasah.

Hidayah Hitam, 58, pula berkata pakaian dalam adalah antara barangan penting yang diperlukan oleh mangsa banjir wanita yang dipindahkan ke PPS itu. 

“Saya hanya menyedari air telah memasuki rumah sekitar 4 pagi selepas menunaikan solat Tahajud. Pada awalnya, saya ingat ia tak akan beri kesan apa-apa tetapi dalam masa tak sampai sejam, tiba-tiba air laju masuk ke dalam rumah.

“Itu yang menyebabkan saya bersama suami serta dua anak kami panik dan dengan keadaan sehelai sepinggang terus dapatkan bantuan untuk urusan pemindahan ke PPS ini," katanya yang berharap bantuan itu dapat disegerakan.

Fauziah Daud, 64, dari Kampung Temin, juga berkata bantuan pakaian dalam perlu disegerakan bagi mengelak risiko luar jangkaan seperti jangkitan penyakit kerana ia perlu kerap ditukar untuk menjaga kebersihan diri.

“... bantuan makanan, Alhamdulillah lebih daripada mencukupi cuma barangan wanita ini amat mendesak ketika ini dan ramai di sini berharap ia dapat disegerakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan