DUNIA

Australia Kemas Kini Nasihat Perjalanan, Minta Rakyatnya Tinggalkan Israel "Sekarang"

15/10/2024 11:23 PM

ANKARA, 15 Okt (Bernama-Anadolu) -- Australia telah mengemas kini nasihat perjalanan untuk rakyatnya di Israel, menggesa mereka meninggalkan Israel dengan kadar segera berikutan situasi keselamatan yang semakin meruncing susulan serangan berterusan Israel ke atas Gaza dan Lubnan, lapor Agensi Anadolu.

"Kerajaan Australia mempunyai kebimbangan serius bahawa keadaan keselamatan di Israel dan Wilayah Palestin yang Diduduki boleh merosot dengan cepat. Hari ini, kami telah menaik taraf nasihat perjalanan Australia kepada Jangan Pergi. Ini bermakna anda perlu meninggalkannya sekarang jika selamat untuk berbuat demikian," kata Menteri Luar Penny Wong di X lewat Isnin.

Wong turut menggesa rakyatnya supaya menghubungi Pusat Kecemasan Konsular kerajaan jika mereka memerlukan sebarang bantuan.

Menurut diplomat kanan itu, Canberra telah membawa keluar 2,748 warga Australia dan keluarga mereka dari Lubnan.

Bulan lepas, China dan Rusia juga meminta warganya supaya meninggalkan Israel berikutan situasi keselamatan semasa di rantau itu.

Sepanjang tahun lalu, Israel telah membunuh lebih 42,000 rakyat Palestin di Gaza dan menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Serangan Israel ke atas Gaza telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah sedia teruk, dengan kekurangan makanan, air bersih dan bekalan perubatan yang teruk akibat sekatan yang berpanjangan.

Usaha yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk menjadi pengantara gencatan senjata serta pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas telah gagal berikutan keengganan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menghentikan perang.

Sementara itu, Israel telah memperluas operasi ketenteraannya ke Lubnan, melancarkan serangan udara dan darat ketika ketegangan di rantau itu terus meningkat.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan