AM

Penjagaan Paliatif: Lebih Daripada Sekadar Sokongan Akhir Hayat

15/10/2024 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Penjagaan paliatif sering disalah erti sebagai penjagaan fokus bagi mereka menghampiri akhir hayat namun hakikatnya, ia adalah mengenai peningkatan kualiti hidup dari saat diagnosis serius diberikan, dan bukan hanya pada peringkat akhir.

Menepis tanggapan salah biasa didengar, Pakar Perubatan Am di Pusat Perubatan, Bandar Sunway (SMC) Dr Hayati Yaakup berkata penjagaan paliatif bertujuan meningkatkan kualiti hidup mereka yang mempunyai penyakit serius, serta menawarkan peluang terbaik untuk menjalani hidup dengan bermakna sambil menguruskan keadaan mereka.

“Penjagaan paliatif bukan sekadar menguruskan kesakitan fizikal, malah turut menyediakan sokongan emosi dan psikologi kepada pesakit serta keluarga mereka. Ramai yang keliru antara penjagaan paliatif dengan penjagaan hospis.

“Jelasnya, penjagaan hospis adalah sebahagian daripada penjagaan paliatif tetapi hanya bagi pesakit yang rawatannya tidak lagi bertujuan menyembuhkan, sebaliknya menumpukan kepada pengurusan simptom dalam fasa akhir kehidupan,” katanya.

Dr Hayati berkata penjagaan paliatif pula menumpukan kepada peningkatan kualiti hidup pesakit dan orang tersayang sepanjang perjalanan menghadapi penyakit berkenaan.

"Dalam dunia yang hanya 14 peratus daripada populasi global menerima penjagaan paliatif diperlukan, ia menekankan kepentingn untuk memperluaskan skop rawatan, terutamanya dengan pertambahan populasi warga emas di Malaysia," katanya.

Dr Hayati berkata bermula dari diagnosis hingga menjalani rawatan, penjagaan paliatif bergerak seiringan bersama doktor dalam kepakaran lain seperti pakar onkologi, kardiologi, perunding perubatan, pekerja sosial, ahli fisioterapi dan ahli agamawan untuk menangani pelbagai keperluan pesakit dan keluarga.

“Perjalanan penjagaan bermula dengan penilaian menyeluruh dan campur tangan berkesan semasa peringkat diagnosis. Ia kemudian berkembang kepada pengurusan berterusan ke peringkat lebih lanjut dan berlanjutan menjadi penjagaan akhir hayat apabila rawatan kuratif tidak lagi berkesan.

“Matlamat utama mengurangkan gejala dan memastikan pesakit mengekalkan kualiti hidup terbaik. Selain itu, pendekatan ini menawarkan sokongan psikologi kepada ahli keluarga dan penjaga, sekali gus membantu mereka menghadapi cabaran penjagaan pesakit dan menghadapi kehilangan orang tersayang,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia, penjagaan paliatif boleh dikategorikan sebagai penjagaan berasaskan hospital dan komuniti, yang kebanyakannya diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penjagaan ini sesuai untuk mereka yang menderita penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular (38.5 peratus), kanser (34 peratus), penyakit pernafasan kronik (10.3 peratus), AIDS (5.7 peratus) dan diabetes (4.6 peratus).

“Pesakit mungkin bertarung dengan simptom seperti sesak nafas atau kesakitan dengan penyakit ini. Penjagaan paliatif boleh membantu mengurangkan gejala dan menguruskan komorbiditi yang berkaitan dengan penyakit itu.

“Dalam kes kanser, ia dapat membantu pesakit menguruskan kesan sampingan kemoterapi atau radiasi seperti loya atau muntah, sekali gus membolehkan mereka menjalani  kehidupan seperti biasa,” katanya.

Dr Hayati berkata selain penjagaan emosi, mereka juga boleh bergantung kepada penyedia penjagaan paliatif untuk bantuan praktikal seperti pendidikan penjagaan pesakit, sokongan penjaga, akses kepada peralatan diperlukan serta panduan kerohanian.

Beliau berkata penjagaan paliatif boleh diperkenalkan pada mana-mana peringkat penyakit serius dan tidak sepatutnya dilihat  sebagai tanda menyerah, sebaliknya merupakan pendekatan penuh ihsan yang dapat memberi kuasa kepada pesakit dan keluarga mereka untuk kekal hidup aktif sepanjang menjalani rawatan.

SMC baru-baru ini menganjurkan buat kali pertama Forum dan Bazar Penjagaan Paliatif SunMed, yang menarik lebih daripada 400 profesional kesihatan dan orang awam untuk mengetengahkan aspek penting penjagaan paliatif dalam menyokong pesakit dan keluarga secara fizikal, emosi dan rohani.

Acara ini yang tersenarai dalam direktori Acara Global 2024 oleh Worldwide Hospice and Palliative Care Alliance (WHPCD), menyaksikan forum melibatkan pakar dalam bidang ini serta individu berpengalaman langsung menjaga mereka yang mengalami penyakit serius.

Ia juga mempamerkan gerai-gerai dari hospital lain, NGO dan rakan kongsi yang memberi tumpuan kepada penjagaan paliatif.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan