AM

Pertukaran MoU MIGHT-Tenmak Untuk Kolaborasi R&D Bagi Pembangunan Industri

16/10/2024 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) --  Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Agensi Penyelidikan Tenaga, Nuklear dan Mineral Turkiye (TENMAK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Khamis untuk menjalankan inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pembangunan industri kedua-dua negara.

MIGHT dalam kenyataan memaklumkan MoU itu bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama dalam bidang teknologi hijau, sains alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi, perubatan nuklear, teknologi nuklear dan bahan termaju.

"Program dan aktiviti yang dinyatakan dalam MoU termasuk pertukaran saintis dan pakar dalam kerjasama sains dan teknologi dua hala, serta penganjuran seminar sains dan teknologi mengenai isu-isu berkepentingan tinggi bagi kedua-dua negara.

"Turut dalam perancangan program penyelidikan bersama, makmal dan stesen perintis serta inisiatif berkaitan sumber semula jadi dan proses serta prosedur teknologi yang sesuai," menurut kenyataan itu. 

Naib Presiden Kanan MIGHT Mohd Zakwan Mohd Zabidi mewakili organisasi itu manakala TENMAK diwakili Presiden Prof Dr Abdulkadir Balikci, pada majlis pertukaran yang berlangsung semasa lawatan kerja Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang ke Turkiye.

Menurut kenyataan itu inisiatif berkenaan disokong Malaysia Science Endowment (MSE) sebagai inisiatif nasional yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) demi memastikan kelestarian pembiayaan R&D negara.

Chang, dalam kenyataan sama, menzahirkan harapan agar kerjasama MIGHT dan TENMAK dapat diterjemahkan kepada penciptaan bersama yang lebih hebat oleh kedua-dua pihak serta keluk pembelajaran lebih pendek dalam bidang-bidang kepentingan nasional utama justeru membawa kepada kejayaan yang lebih besar dalam pelaksanaan usaha teknokomersial.

Sejak penubuhannya pada 2020, TENMAK telah memainkan peranan penting dalam memajukan aktiviti penyelidikan saintifik dalam bidang tenaga, perlombongan, radiasi mengion, pemecut zarah dan teknologi nuklear.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan