AM

RUU Keselamatan Dalam Talian Wajibkan Tiga Tanggungjawab Utama

16/10/2024 11:02 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang Keselamatan (RUU) Dalam Talian 2024 bakal mewajibkan platform media sosial mematuhi tiga tanggungjawab utama iaitu menjamin keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan menyekat akses kepada kandungan berbahaya.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pihak platform berkenaan juga perlu menghantar Pelan Keselamatan Digital tahunan yang merangkumi strategi keselamatan dan pencapaian mereka.

“Semalam, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) mengadakan taklimat mengenai Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024.

“Kerangka RUU ini dibentangkan bertujuan untuk mengawal selia aktiviti dalam talian, terutamanya di platform seperti Meta, X dan TikTok.

“Matlamat utama adalah untuk mengurangkan jenayah siber seperti penipuan dalam talian agar dapat melindungi pengguna. Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memberikan sokongan utuh bagi menjayakan sesi ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata beberapa Ahli Parlimen telah memberikan maklum balas yang bernas dan pandangan mereka akan diambil kira bagi keselamatan dalam talian.

“Suatu hal yang membimbangkan semua pihak kini adalah apabila terdapat beberapa jenayah fizikal telah berpindah di platform dalam talian antaranya penipuan (scam), jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta perjudian dalam talian.

“Langkah demi langkah, Kementerian Komunikasi sedang membina persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi laman Facebook berkata sejak enam bulan lepas, MCMC mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti pakar keselamatan siber, pembangun teknologi serta jurutera komputer. 

Fahmi berkata Kerajaan MADANI memandang serius dan mengutamakan keselamatan dalam talian, khususnya untuk kanak-kanak serta keluarga dan Kod Tatalaku berkaitan media sosial akan siap selewat-lewatnya bulan depan.

RUU itu yang dilaporkan akan dibentang bulan ini bersifat menyeluruh dan mengambil kira jenayah siber yang mungkin berlaku termasuk melibatkan kanak-kanak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan