JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Suspek Kes Sabari Dihadap Ke Mahkamah Esok

16/10/2024 04:03 PM

ALOR SETAR, 16 Okt (Bernama) -- Dua suspek lelaki kes pembunuhan pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra, esok.

Jurucakap polis dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua suspek berusia 38 dan 26 tahun itu, akan dibawa ke mahkamah berkenaan pada 8.30 pagi esok.

Sebelum ini, kedua-dua lelaki itu yang ditahan pada 27 Sept, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kes khianat bakar kereta.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 Sept dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 Sept.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu.

Operasi pencarian Sabari di kawasan sungai berkenaan dilaksanakan selama tiga hari, sebelum ditamatkan pada 3 Okt.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan