DUNIA

Kemudahan CERT Rantau ASEAN Baharu Dilancar Tingkat Kerjasama Keselamatan Siber

16/10/2024 04:32 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 16 Okt (Bernama) -- Kemudahan fizikal Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Rantau ASEAN (CERT) dilancarkan di sini pada Rabu, yang akan mempertingkatkan perkongsian maklumat dalam kalangan negara anggota ASEAN mengenai ancaman siber serta penipuan dalam talian.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, bersama para menteri dan pegawai kanan ASEAN, termasuk Menteri Digital Malaysia Gobind Singh Deo dan Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura Josephine Teo, semasa Persidangan Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) ke-9.

Kemudahan CERT Rantau ASEAN ini akan ditempatkan di Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE) di Singapura.

Teo yang juga menteri bertanggungjawab bagi Smart Nation dan Keselamatan Siber, berkata kemudahan itu akan berfungsi sebagai ruang khusus untuk aktiviti bersemuka, seperti latihan siber, bengkel dan program pembinaan kapasiti siber CERT-CERT, untuk memupuk kerjasama yang padu dalam kalangan negara anggota ASEAN.

"Dengan pembiayaan US$10 juta yang dijanjikan selama 10 tahun, CERT Rantau ASEAN mewakili langkah konkrit dalam usaha ASEAN ke arah pembinaan kapasiti serantau dan perkongsian amalan terbaik.

"CERT Rantau ASEAN juga akan menyokong usaha kita dalam membangunkan perkongsian dengan industri dan akademik, memudahkan menjalankan latihan siber dan meningkatkan pertukaran maklumat tepat pada masanya," katanya dalam ucapannya di AMCC.

Teo berkata aktiviti CERT Rantau ASEAN akan ditadbir oleh pasukan petugas yang diketuai oleh negara anggota ASEAN sebagai penyelaras keseluruhan, yang akan digilirkan setiap dua tahun.

Malaysia merupakan penyelaras pertama Pasukan Petugas CERT Rantau ASEAN. 

Sementara itu, Teo berkata Senarai Semak Pelaksanaan Norma ASEAN (NIC) yang diterajui Singapura dan Malaysia disiapkan pada September tahun ini yang akan menyokong usaha kolektif untuk membina ruang siber yang lebih selamat dan terjamin.

NIC, senarai semak serantau pertama seumpamanya, akan berfungsi sebagai rujukan bukan sahaja untuk AMS tetapi juga bagi negara di luar rantau ini.

Ia terdiri daripada satu set tindakan yang boleh dipertimbangkan dan diikuti oleh semua negara untuk melaksanakan norma tingkah laku bertanggungjawab di ruang siber menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Tindakan yang boleh diambil untuk setiap norma dibahagikan kepada lima tonggak: dasar, operasi, teknikal, undang-undang dan diplomasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan