AM

Tun Dr Wan Junaidi Dimasyhurkan Sebagai Canselor UNIMAS

16/10/2024 05:54 PM

KUCHING, 16 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor keempat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Istiadat Pemasyhuran berlangsung di Astana Negeri di sini.

Watikah pemasyhuran diserahkan kepada Wan Junaidi oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pemasyhuran Wan Junaidi telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bagi menggantikan Canselor UNIMAS ketiga Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang berkuat kuasa 22 Feb lepas hingga 25 Jan 2025.

Turut hadir ke Istiadat Pemasyhuran iti isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pro-Canselor UNIMAS.

Wan Junaidi dalam ucapannya sempena pelantikan itu berkata amanah sebagai Canselor sebuah universiti bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga membawa tanggungjawab besar.

“Ia bukan sekadar simbol kepada universiti ini tetapi juga berperanan penting sebagai penggerak aspirasi UNIMAS untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Wan Junaidi berkata keberadaan UNIMAS selama 32 tahun di Sarawak telah membawa banyak perkembangan dan kemajuan pesat bukan sahaja di kawasan Samarahan yang menjadi lokasi kampus utama universiti itu, malah di kawasan luar bandar seperti Sadong Jaya.

Menurut beliau, UNIMAS perlu menjadi penggerak dalam pembangunan teknologi dan inovasi terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik, sejajar dengan hala tuju ekonomi hijau dan digital kerajaan Sarawak.

“Justeru untuk menyokong usaha kerajaan negeri, UNIMAS perlu berperanan besar sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan yang berinovatif dan kreatif,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan