EKONOMI

MPOC Jangka Harga MSM Melebihi RM4,000 Satu Tan Metrik Pada Oktober

16/10/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt  (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil melebihi RM4,000 satu tan metrik pada Oktober walaupun dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran yang berlanjutan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Selain ketidaktentuan pasaran, MPOC mengaitkan kenaikan harga itu disebabkan penurunan ketara tahun ke tahun dalam inventori minyak sawit Malaysia.

“Faktor utama yang mempengaruhi penawaran dan permintaan minyak sawit menjelang ke suku akhir 2024 termasuk tahap inventori minyak sawit India, dasar biodiesel B40 Indonesia dan trend pengeluaran dan penggunaan global bagi empat minyak sayuran utama pada 2025,” kata MPOC dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, MPOC memberi amaran bahawa harga tenaga yang lemah, lebihan bekalan minyak kacang soya dan premium harga minyak sawit berbanding minyak campuran mungkin mengehadkan kenaikan harga selanjutnya.

Ia juga berkata bahawa prestasi eksport yang kukuh dan musim puncak pengeluaran awal di Malaysia telah menyumbang kepada harga yang menggalakkan bagi minyak sawit, mencecah setinggi RM4,400 setan metrik pada bulan Oktober.

Musim puncak pengeluaran minyak sawit Malaysia adalah pada Ogos tahun ini, dua bulan lebih awal daripada tiga tahun lepas, pada kebiasaannya berlaku pada Oktober, kata MPOC.

“Pengeluaran minyak sawit pada September merosot 3.8 peratus kepada 1.82 juta tan metrik dengan pengurangan bermusim selanjutnya dijangka sehingga akhir tahun.

“Walaupun pengeluaran menurun, eksport minyak sawit Malaysia kekal kukuh, mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 0.9 peratus kepada 1.54 juta tan metrik. Eksport pada September mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 27.3 peratus...ia adalah pencapaian memberangsangkan,” katanya.

Dari Januari hingga September 2024, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 1.15 juta tan metrik (8.7 peratus) manakala eksport melonjak sebanyak 1.41 juta tan (12.9 peratus).

Pertumbuhan eksport melebihi pengeluaran sebanyak 260,000 tan metrik dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, menyebabkan penyusutan tahun ke tahun dalam inventori minyak sawit, berjumlah 2.01 juta tan pada September 2024.

MPOC berkata stok minyak sawit di pelabuhan India jauh lebih rendah pada 321,000 tan metrik pada September 2024 berbanding purata 534,000 tan tahun lepas.

“Paras stok yang rendah ini menunjukkan bahawa India berkemungkinan akan meningkatkan import minyak sawit menjelang musim perayaan dengan anggaran 700,000 tan metrik akan diimport pada Oktober,” katanya.

MPOC berkata keputusan Indonesia untuk meningkatkan mandat biodieselnya daripada B35 kepada B40 dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit sebanyak dua hingga 2.5 juta tan metrik pada 2025 seterusnya mengetatkan ketersediaan eksport.

“Pengurangan pembekalan ini berkemungkinan memberikan sokongan tambahan untuk harga minyak sawit,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan