JENAYAH & MAHKAMAH

Bicara Kes Khalwat Penyanyi Aliff Aziz Dan Pelakon Ruhainies Bermula 20 Feb 2025

17/10/2024 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan dua hari bermula 20 Feb 2025, untuk perbicaraan kes penyanyi Aliff Aziz dan pelakon Ruhainies yang didakwa atas pertuduhan berkhalwat di sebuah unit kondominium pada Mac lepas.

Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz menetapkan 20 dan 27 Feb 2025 untuk perbicaraan, selepas Pendakwa Syarie Masroha Duki dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memohon tarikh berkenaan.

“Untuk maklumat mahkamah, hari ini ditetapkan pengurusan kes dan pihak pendakwaan telah menyerahkan sesalinan senarai saksi pendakwaan kepada pihak mahkamah dan peguam.

“Oleh itu, mohon tarikh perbicaraan ditetapkan,” kata pendakwa syarie itu pada prosiding kes Aliff atau nama penuhnya Mohamad Aliff Aziz dan Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, di sini.

Terdahulu, peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh dan Muhammad Amirul Ashraf A.Ghani yang mewakili Mohamad Aliff dan Nur Ruhainies, mengesahkan perkara itu.

Pada 3 Julai, Mohamad Aliff, 33, dan Nur Ruhainies, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, atas pertuduhan berkenaan.

Mohamad Aliff didakwa telah berada bersama Nur Ruhainies yang bukan isteri atau mahramnya dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak, bahawa tertuduh (Mohamad Aliff) melakukan perbuatan tidak bermoral di sebuah unit kondominum di Bukit Bintang pada 12.35 pagi, 9 Mac.

Nur Ruhainies pula didakwa telah berada bersama Mohamad Aliff yang bukan suami atau mahramnya dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak, bahawa tertuduh (Nur Ruhainies) melakukan perbuatan tidak bermoral pada tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, Mohamad Aliff didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, manakala Nur Ruhainies didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun jika sabit kesalahan.

Pada 13 Jun, Mohamad Aliff dan isterinya pelakon Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan