EKONOMI

EY: Dasar Bank Pusat, Geopolitik Dijangka Pengaruhi Pasaran IPO Global Pada 2024

17/10/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pasaran tawaran awam permulaan (IPO) global dijangka dipengaruhi oleh dasar bank pusat, perkembangan geopolitik dan keputusan pilihan raya utama bagi tempoh berbaki tahun 2024, kata Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY).

Penyedia perkhidmatan profesional itu berkata kadar faedah dan inflasi yang lebih rendah dijangka menggalakkan penyenaraian baharu dan pemulihan semula sektor yang terkesan oleh kos pinjaman.

Menurutnya, prestasi kukuh dalam pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan India juga dijangka menyokong aktiviti IPO.

Ketua IPO EY ASEAN Chan Yew Kiang aktiviti IPO dijangka meningkat pada suku seterusnya dan tahun hadapan apabila kadar faedah semakin menurun dan syarikat bersiap sedia menghadapi pertumbuhan serantau.

Beliau berkata dengan asas dan permintaan yang kukuh, selain pengawal selia yang semakin meneroka dasar untuk menyokong syarikat memanfaatkan pasaran modal untuk pertumbuhan, juga memberi petanda yang baik untuk pasaran.

"Kita juga menjangkakan minat terhadap penyenaraian rentas sempadan semakin meningkat ketika syarikat berusaha untuk mencapai ekuiti jenama dalam pasaran lain yang mereka teroka," kata Chan.

Pasaran IPO global pada suku ketiga 2024 menunjukkan petanda keyakinan walaupun berhati-hati di tengah-tengah kelembapan ekonomi global, turun naik pasaran, anjakan geopolitik dan kelonggaran monetari.

EY berkata, walaupun volum turun sebanyak 14 peratus kepada 310 IPO dan hasil susut 35 peratus kepada US$24.9 bilion (US$1=RM4.29), pelancaran IPO pada suku ketiga mengatasi sedikit jumlah pada suku pertama dan kedua.

Asia Pasifik mencatatkan pemulihan ketara pada suku ketiga, menyumbang kenaikan 11 peratus kepada jumlah IPO global.

“Pemulihan semula ini susulan peningkatan aktiviti di China, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan, telah menyuntik keyakinan terhadap pasaran global semasa tempoh tidak menentu,” kata EY. 

Pengarah eksekutif kanan strategi dan urus niaga EY Malaysia, Kevin Chew, berkata iklim ekonomi di Malaysia menunjukkan petanda positif yang kukuh, dicerminkan menerusi aktiviti rancak IPO Malaysia. 

Beliau berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, pasaran menyaksikan sejumlah 36 IPO dengan suku ketiga sahaja menyumbang sebanyak 14 IPO.

“Lonjakan aktiviti ini menunjukkan kebangkitan semula Malaysia, yang mencatatkan jumlah IPO tertinggi sejak 2006, sekali gus mencerminkan keyakinan kukuh pelabur,” kata Chew.

Di seluruh Asean, bursa aktif lain pada 2024 termasuk Indonesia (34 IPO mengumpul hasil US$0.3 bilion), Thailand (22 IPO mengumpul hasil US$0.6 bilion), Filipina (tiga IPO mengumpul hasil US$0.2 bilion).

Singapura dan Sri Lanka setiap satu mempunyai satu IPO yang masing-masing mengumpul hasil US$19.5 juta dan US$1.5 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan