AM

Belanjawan 2025 Pacu Pertumbuhan Ekonomi, Beri Keadilan Rakyat Terbanyak - PM Anwar

17/10/2024 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi keadilan kepada rakyat terbanyak.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semasa membuat tinjauan di pejabat Kementerian Kewangan pagi ini, beliau mendapati kesiapsiagaan pasukan Belanjawan dan warga Kementerian Kewangan begitu rapi.

"Kendatipun sibuk merangka Belanjawan yang terangkum dan penuh teliti ini, saya gembira melihat keterujaan pasukan Belanjawan dan turut bergambar bersama mereka. 

"Usai mengambil gambar-gambar kenangan, saya menandatangani dokumen-dokumen berkaitan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan esok di Dewan Rakyat," katanya.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang telah memerah keringat dan memberi cadangan bernas untuk menjayakan Belanjawan 2025. 

Perdana Menteri dijadual akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 4 petang esok. 

Belanjawan 2025 merupakan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan