AM

PPM Diberi Nafas Baharu Agar Kekal Relevan

17/10/2024 10:39 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dalam proses memberi nafas baharu pertubuhan beruniform itu bagi memastikan kekal dinamik, relevan dan menarik.

Ketua Pengakap Negara  Mej Jen (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata usaha itu sekali gus akan memberikan imej PPM yang lebih segar kepada masyarakat.

"Usaha ini juga selaras dengan 10 fokus utama PPM antaranya memantapkan sistem latihan, meningkatkan kemampanan kewangan, memperkukuh pembangunan infrastruktur, memperluas jaringan kerjasama dan memperkasakan program-program berimpak tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal PPM di sini malam ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Majlis Pengakap Negara Tan Sri Johari Abdul.

Mohd Zin berkata dengan sokongan masyarakat dan badan-badan berkaitan, pengakap akan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan belia cemerlang dalam akademik serta mempunyai kemahiran insaniah dan kepimpinan yang hebat.

Beliau berkata untuk memastikan PPM terus maju, pelbagai inisiatif strategik telah dilancarkan termasuk melaksanakan program yang menarik dan mencabar, memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kerjasama global.

"Satu daripada aspek yang menjadi fokus utama ialah memperkenalkan elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta matlamat pembangunan mampan (SDG) dalam program kepengakapan, supaya ahli pengakap lebih bersedia menghadapi dunia moden,” katanya.

Mohd Zin berkata pengakap juga memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi pembangunan negara.

Majlis makan malam itu bertujuan meraih dana bagi membiayai aktiviti serta pengurusan PPM, selain platform untuk membuka ruang kepada masyarakat serta badan-badan berkaitan mengenali dengan lebih mendalam misi, visi dan peranan pengakap dalam membangunkan generasi muda negara.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan