FOKUS BERNAMA

Kampung Batu Laut : Kampung Angkat Bernama, Perkasa Pendidikan, Pengetahuan Kewartawanan

18/10/2024 09:38 AM

Kampung Batu Laut yang dipilih Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai kampung angkat di bawah Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung merupakan antara perkampungan tertua di daerah Kuala Langat di sini.

Dipercayai berusia lebih dua abad dan berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, kampung yang terletak di muara Sungai Mesok dan tidak jauh dari Tanjung Sepat ini, pada asalnya bernama Kampung Kota Raja.

Kini didiami oleh kira-kira 3,500 penduduk yang kebanyakannya mencari nafkah sebagai petani dan nelayan, kampung ini pernah didiami kerabat diraja, serta terkenal sebagai sebuah pelabuhan kecil yang menjadi tumpuan kegiatan perdagangan di kawasan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, pemilihan Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat adalah kerana Bernama tertarik dengan kesepakatan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.

 

BATU BESAR ASAL NAMA

Penulis yang pertama kali menjejakkan kaki di kampung ini dapat merasakan kedamaian suasana kampung yang menghadap ke laut ini. Rasa lelah setelah berada di dalam kenderaan selama hampir dua jam untuk tiba di sini lenyap tatkala menatap hamparan pantai bersih dengan hembusan angin laut.

Menyingkap sejarah perkampungan ini, Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sagandi, 63, berkata, kampung berkenaan dibuka sekitar awal 1800 oleh Raja Husin yang merupakan penghulu pertama di kampung itu.

pic-2

Nama asal kampung ini, antara yang tertua di daerah Kuala Langat ialah Kampung Kota Raja kerana kerabat diraja pernah mendiami kampung tersebut.

Menurut Subandi, Sungai Mesok pula dijadikan pelabuhan kecil dan kemudahan-kemudahan seperti balai polis, pejabat pos, kastam serta panggung wayang, sudah ada pada masa itu.

Mengenai asal usul nama Kampung Batu Laut pula, Subandi berkata, ianya berkaitan dengan penemuan seketul batu besar, lebih kurang tiga kilometer dari pantai. Batu besar itu dikatakan memiliki tanda ada perkampungan baharu. Disebabkan batu itu terletak di tengah-tengah laut, masyarakat setempat menamakan kampung mereka, Kampung Batu Laut.

Antara keunikan Kampung Batu Laut adalah pantainya. Pantai Batu Laut terkenal dengan aktiviti perahu layar dan setiap tahun akan diadakan Kejohanan Perahu Layar di pantai berkenaan.

 

BERBESAR HATI

Berkongsi lanjut mengenai pemilihan Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat Bernama, Subandi menzahirkan rasa syukur, terharu serta bangga kerana terpilih menjadi anggota keluarga kepada sebuah agensi kerajaan yang memainkan peranan besar dalam dunia penyampaian berita serta pelaporan maklumat kepada masyarakat.

"Objektif utama dalam program satu pemimpin satu kampung bawah seliaan Bernama adalah untuk menangani isu pendidikan anak-anak penduduk di sini. Maka saya amat  berharap pihak sekolah, masyarakat Kampung Batu Laut dapat memberi kerjasama kepada Bernama bagi melaksanakan segala aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program ini," katanya.

Menjadi hasrat Subandi selaku wakil kepada penduduk kampung agar segala perancangan secara berterusan bakal memberi manfaat kepada anak-anak muda terutama dalam aspek pembelajaran.

pic-3

Kongsinya lagi, antara permasalahan utama dikenal pasti di kampungnya ialah tahap pendidikan dalam kalangan generasi muda di peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Terdapat kanak-kanak seawal usia tiga tahun sudah terdedah dengan telefon pintar dan asyik bersama gajet dan kesan yang kita lihat mereka ini apabila memasuki alam persekolahan masih tidak boleh membaca. 

"Dengan adanya program seperti ini (Santuni MADANI), diharapkan ia dapat menangani masalah penggunaan gajet dalam kalangan masyarakat kampung terutamanya kanak-kanak," katanya.

Dengan pemilihan Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat Bernama, beliau turut berharap agar penduduk kampung itu dapat didedahkan dengan dunia kewartawanan yang secara langsung memupuk minat generasi muda untuk meneroka kerjaya dalam bidang itu .

"Anak-anak muda adalah pelapis pada masa hadapan. Harapan saya semoga dengan pelaksanaan program santuni MADANI turut dapat memberi kesedaran kepada golongan muda betapa pentingnya pendidikan tanpa mengira had umur," katanya.

 Subandi turut mengharapkan penekanan serta penyebaran luas dari Bernama kepada masyarakat terutama warga emas di kampung itu, berhubung sindiket penipuan dalam talian khususnya pelaburan tidak wujud.

Ini kerana katanya, sejak kebelakangan ini beliau kerap menerima aduan daripada mereka yang telah bersara menjadi mangsa kepada penipuan sindiket berkenaan.

 

PERKASA PENDIDIKAN 

Sementara itu, menerusi Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung, semua jabatan dan agensi di bawah kerajaan disaran menyantuni penduduk kampung sekaligus merangka pelbagai usaha untuk meningkatkan potensi sesebuah kampung serta keupayaan masyarakatnya.

Menjelaskan perkara ini, Nur-ul Afida berkata, menerusi program terbabit, pelbagai aktiviti serta beberapa penekanan akan diberikan kepada komuniti Kampung Batu Laut melalui Kampung Angkat Bernama@Batu Laut.

pic-4

Mengenai signifikan pemilihan Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat Bernama, beliau menyatakan, daripada senarai beberapa kampung, Kampung Batu Laut menjadi pilihan kerana pelbagai faktor yang menarik perhatian.

"Antaranya ialah kesepakatan dan kesungguhan yang dipamerkan kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Batu Laut yang dapat dilihat sendiri semasa tiga kali kunjungan, perjumpaan serta mesyuarat yang dijalankan.

"Kita berasa amat tersentuh dengan sambutan mesra yang diberikan seawal kunjungan pertama Bernama ke Kampung Batu Laut dan daripada situ dapat dilihat adanya peluang dan ruang untuk Bernama membantu dari aspek pendidikan serta menyumbang serba sedikit ke arah mencari penyelesaian yang sewajarnya sepertimana yang dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini," katanya.

Antara pendekatan dan fokus yang diberi tumpuan kepada penduduk kampung itu adalah program intervensi pendidikan dengan memberi pendedahan kepada masyarakat kampung terutama anak muda akan kelebihan yang boleh diterokai menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Seperti hari ini kita juga membawa rakan strategik seperti TVET dan pada masa akan datang kita akan sediakan ruang untuk TVET memberi penerangan lanjut mengenai manfaat dan apa yang boleh dikecapi oleh mereka yang menceburi bidang itu," katanya.

Bernama juga, katanya, merancang pelbagai agenda bagi memperkasa pendidikan kepada golongan muda dengan mengadakan bengkel penulisan, bengkel pemikiran kreatif, bibliografi, powerpoint serta program meningkatkan tahap pembacaan generasi cilik di Kampung Batu Laut.

Pada majlis perasmian itu, turut diadakan penyerahan buku bagi inisiatif Little Free Library (LFL), suatu aktiviti yang dijalankan semasa Program Kempen 3B (Baca Bersama Bernama).

 

PENEKANAN LITERASI MEDIA SOSIAL  

Selain pendidikan, Bernama juga akan mendedahkan dunia kewartawanan yang boleh diceburi kelompok muda yang berhasrat menjadikan bidang itu sebagai kerjaya.

Nur-ul Afida berkata, Bernama akan menekankan kepada literasi media sosial buat penduduk kampung memandangkan dalam dunia penuh siber betapa penting pengetahuan diberikan agar tidak ada yang menjadi mangsa atau terjebak daripada perkara tidak diingini.

"Salah satu rangka agenda program kita adalah tentang literasi media sosial dan tumpuan sudah tentu kepada aspek penipuan dan pelaburan tidak wujud kepada penduduk memandangkan terdapat kes warga emas di kampung ini yang menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Menerusi platform ini kita akan bawa pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberi penerangan terperinci berhubung sindiket penipuan tidak wujud terutama kepada warga emas di kampung ini yang mana kita lihat banyak kes terjadi melibatkan kelompok itu serta pesara," katanya menambah, Bernama komited untuk membantu sepertimana dipinta penduduk Kampung Batu Laut.

pic-5

Sementara itu, berhubung program pelancaran kampung angkat berkenaan, Nur-ul Afida melahirkan penghargaan kepada pasukan Bernama yang berjaya melaksanakan program tersebut.

"Saya menzahirkan rasa syukur di atas komitmen ditunjukkan kesemua petugas Bernama yang turun padang dengan bidang kepakaran masing-masing baik Bernama TV, Bernama Radio, Perpustakaan Digital, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab), Persatuan Suri & Anggota Wanita Bernama (Benita) dan semua yang terlibat dalam memastikan program ini berjalan lancar," katanya yang turut berterima kasih kepada rakan strategik kepada program itu iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor , Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Adabi, syarikat pengilang makanan terkenal.

Pelbagai aktiviti diadakan pada majlis pelancaran kampung angkat Bernama, antaranya, senamrobik, zumba, kuiz, sukaneka kanak-kanak dan pertandingan membaca berita radio dan televisyen dengan kehadiran lebih 200 penduduk memeriahkan suasana.

Seorang remaja yang berpeluang membaca berita di reruai Bernama TV, Muhammad Umar Danish Abdul Mu'izz menyifatkan, kesempatan yang diberikan sebagai satu pengalaman penuh bermakna buat dirinya.

"Selama ini kita melihat pembaca berita di kaca televisyen tetapi hari ini saya merasai sendiri, ia kenangan berharga untuk saya dan dari sini saya sedar bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai penyampai berita kerana memerlukan keyakinan tinggi," kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut itu.

Muhammad Umar Danish yang bercita-cita menjadi juruterbang itu berkata, pada mulanya berasa gementar namun lama-kelamaan dapat membiasakan diri serta dapat mempelajari nada serta intonasi dalam menyampaikan berita. 

Majlis pelancaran Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung diadakan pada 12 Oktober lepas. Berlangsung di Dewan Kebudayaan Kampung Batu Laut , Tanjung Sepat, ia dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu.

Program yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diumumkan Mei lepas dengan antara objektif utamanya, pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosio ekonomi dan keperluan penduduk di kampung yang dipilih oleh pemimpin kerajaan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan