AM

Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah Bermula Hari Ini

18/10/2024 10:12 AM

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini, menyediakan pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat kepada pengunjung.

Menyasarkan 400,000 pengunjung, program itu antaranya menyediakan 215 Perkhidmatan Touchpoint Rakyat, 28 perkhidmatan melibatkan kos sara hidup dan pelbagai aktiviti untuk belia.

Program bertemakan ‘Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna’ itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2.30 petang esok.

Zon Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program MADANI Rakyat tahun ini selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.

Bagi Zon Sabah, pelaksanaan program melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Membawa perkhidmatan kerajaan MADANI kepada rakyat Sabah, pelbagai perkhidmatan ditawarkan kepada pengunjung seperti kemudahan bayar saman dengan diskaun hingga 50 peratus dan menukar topi keledar lama untuk 5,000 pengunjung terawal.

Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun hingga 30 peratus di samping Jualan Agro MADANI,  pameran aset keselamatan, pemeriksaan kesihatan, kempen beli barangan buatan Malaysia dan jualan trak makanan turut diadakan.

Selain itu kira-kira 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan 14 majikan juga menanti pengunjung dan penduduk Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan