EKONOMI

Pelaburan Hartanah, IJN Meterai MoU Teroka Pengembangan Kemudahan Kesihatan

18/10/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) bekerjasama dengan IJN Holdings Sdn Bhd (IJN) untuk pengembangan masa depan kemudahan kesihatan Institut Jantung Negara (IJN).

Pengarah Urusan Kumpulan PHB dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Damshal Awang Damit berkata kerjasama ini menunjukkan komitmen syarikat untuk mencipta nilai yang mampan melalui pelaburan strategik dalam sektor kesihatan.

"Model komitmen ke hadapan membolehkan kami memanfaatkan kekuatan kewangan untuk menyokong pengembangan IJN, memastikan kami menyumbang kepada kecemerlangan penjagaan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

 Dalam pada itu, syarikat pelaburan hartanah di bawah seliaan Yayasan Pelaburan Bumiputera itu berkata kerjasama strategik ini akan meneroka model perniagaan komitmen ke hadapan dan pembiayaan ke hadapan yang inovatif.

PHB berkata model perniagaan berkenaan direka untuk memanfaatkan PHB dan IJN dengan menyediakan rangka kerja berstruktur untuk menyokong projek pembangunan penjagaan kesihatan IJN.

"Di bawah model ini, PHB komited untuk membeli kemudahan penjagaan kesihatan dan apabila siap, ia memastikan sokongan kewangan untuk pemaju selain menjadikan projek lebih menarik kepada pelabur dan rakan kongsi.

"Pendekatan ini membolehkan IJN memberi tumpuan kepada misi terasnya untuk menyampaikan penjagaan kardiovaskular bertaraf dunia sambil meringankan beban selain risiko mengurus pembangunan tanah dan hartanah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib menekankan IJN komited untuk berkembang ke luar Kuala Lumpur, mencapai wilayah yang kurang mendapat perkhidmatan untuk menangani keperluan penjagaan kesihatan penduduk yang lebih meluas.

Beliau berkata inisiatif itu akan membuka jalan untuk mewujudkan kemudahan baharu, memastikan akses kepada penjagaan jantung khusus untuk komuniti di seluruh Malaysia, tanpa mengira lokasi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan