AM

Tinjauan Ekonomi 2025: Prestasi Sektor Pertanian Dijangka Kekal Stabil Pada Tahun Depan

18/10/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Prestasi sektor pertanian dijangka kekal stabil pada 2025 dengan pertumbuhan sebanyak 1.9 peratus disokong oleh semua subsektor dengan kelapa sawit dijangka berkembang secara marginal.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, subsektor itu dijangka berkembang ekoran didorong peningkatan pengeluaran dan hasil buah tandan segar (BTS) berikutan kawasan penuaian kelapa sawit yang lebih besar, selain keadaan cuaca menggalakkan dan pasaran buruh yang stabil.

“Hasil Minyak Sawit Mentah (MSM) diunjur stabil dalam lingkungan RM3,500 hingga RM4,000 setan metrik seiring dengan pengeluaran global yang lebih baik.

“Selain itu, pengeluaran minyak kacang soya global yang lebih tinggi dan permintaan MSM yang stabil dari negara pengimport utama juga dijangka menyumbang kepada kestabilan harga,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan subsektor getah dianggar berkembang disokong peningkatan pengeluaran getah asli terutama daripada segmen pekebun kecil yang kekal menjadi penyumbang utama kepada jumlah pengeluaran getah.

“Faktor lain yang memangkin pertumbuhan subsektor ini termasuk harga getah yang stabil, sokongan proaktif kerajaan dan peluasan kawasan getah matang. Faktor ini dijangka meningkatkan pengeluaran dan keuntungan bagi pengeluar getah terutamanya pekebun kecil,” menurut laporan itu.

Selain itu, usaha untuk mengukuhkan rantaian bekalan makanan dan meningkatkan daya tahan industri agromakanan dijangka merancakkan lagi prestasi subsektor pertanian lain, ternakan dan perikanan.

Usaha itu termasuk mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan dan inovasi serta melaksanakan pelbagai langkah untuk menguruskan kehilangan hasil selepas tuai.

“Peningkatan perbelanjaan domestik dan ketibaan pelancong juga akan menggalakkan pertumbuhan subsektor tersebut bagi memenuhi permintaan barangan makanan yang semakin meningkat.

“Tambahan pula, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang bertujuan membangunkan industri agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi dijangka terus menyokong pertumbuhan subsektor tersebut,” menurut laporan itu.

Sementara itu, secara keseluruhan sektor pertanian diunjur meningkat sebanyak dua peratus pada 2024 dengan semua subsektor dijangka mencatat pertumbuhan positif kecuali subsektor perhutanan dan pembalakan.

Laporan itu turut menyatakan, subsektor kelapa sawit menyumbang lebih 36 peratus daripada sektor pertanian yang dijangka berkembang dengan sebahagian besar disokong peningkatan dalam penawaran buruh, aktiviti pembajaran yang lebih baik dan prestasi kukuh pada separuh tahun ini.

“Walaupun output MSM dijangka lebih tinggi namun pengeluaran MSM kekal di bawah potensi, disebabkan oleh kesan cuaca kering dan peningkatan keluasan kawasan pokok sawit tua berikutan kadar penanaman semula yang rendah.

“Dari segi harga, MSM diunjur mencatat purata antara RM3,800 hingga RM4,300 setan metrik disebabkan oleh kekangan dalam bekalan minyak sawit global,” menurut laporan itu.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 itu lagi, subsektor getah dijangka mencatat pertumbuhan marginal hasil daripada pengeluaran getah asli yang stabil disokong oleh pemulihan harga getah seterusnya menggalakkan aktiviti penorehan oleh pekebun kecil.

Inisiatif penambahbaikan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dilaksanakan oleh kerajaan akan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan subsektor tersebut.

Laporan itu turut memaklumkan subsektor ternakan, pertanian lain dan perikanan juga dijangka berkembang menerusi usaha bersepadu dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara yang antara lain memperluas Program Smart Sawah Berskala Besar meliputi 79 kawasan dengan keluasan 35,348 hektar di seluruh negara.

“Tambahan pula, perbelanjaan pengguna yang mampan dan aktiviti pelancongan yang bertambah baik dijangka mendorong pertumbuhan subsektor tersebut,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan