AM

Sistem Aliran Transit Sedia Ada Di Bandar Akan Diperluas

18/10/2024 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan merancang untuk memperluas dan meningkatkan sistem aliran transit sedia ada, termasuk kereta api dan bas pengantara bagi masyarakat bandar di bawah Belanjawan 2025.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, penambahbaikan itu bertujuan untuk menyediakan rangkaian pengangkutan awam yang lebih cekap dan boleh dipercayai, bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kesalinghubungan antara bandar.

“Penambahbaikan sistem aliran transit bandar oleh kerajaan akan menggalakkan pembangunan bandar secara mampan, mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar dengan mengurangkan masa perjalanan, serta meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan.

“Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk merancakkan aktiviti ekonomi dengan jaringan ketersambungan infrastruktur mantap, mampan dan cekap yang memberikan manfaat kepada perniagaan dan rakyat,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan kerajaan akan memberikan tumpuan terhadap peningkatan mobiliti antara negeri melalui projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Pan Borneo, untuk merancakkan aktiviti ekonomi.

Untuk itu, lebuh raya sedia ada akan terus diselenggara dan dinaik taraf bagi memastikan pengangkutan yang lancar dan cekap, sekali gus menambah baik ketersambungan serta memudah cara perdagangan, menggalakkan pelancongan dan merancakkan ekonomi secara keseluruhan.

Di bawah Belanjawan 2025 juga, pelaburan infrastruktur yang memberi fokus terhadap teknologi kos efektif dan inovatif akan terus dilaksana terutamanya di kawasan terpencil, selaras dengan komitmen untuk menambah baik infrastruktur asas berpaksikan rakyat dengan mengukuhkan perancangan bandar, akses jalan raya, air terawat dan bekalan elektrik di kawasan bandar dan luar bandar.

“Peruntukan pembangunan luar bandar akan terus disediakan bagi menangani jurang pembangunan dan menambah baik infrastruktur daif.

“Kerajaan juga akan menyediakan capaian Internet yang stabil dan mampu milik, bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat daripada teknologi digital seterusnya meluaskan akses kepada aktiviti sosioekonomi, sekali gus memastikan tiada sesiapa yang tercicir,” menurut laporan itu.

Dalam membangunkan perumahan mampu milik berkualiti untuk rakyat, laporan itu memaklumkan Belanjawan 2025 akan terus menyediakan kawasan kejiranan selamat dengan persekitaran hidup sihat, seterusnya menyumbang kepada masyarakat makmur.

Fokus juga akan diberikan bagi menyediakan penyelesaian perumahan secara inklusif untuk manfaat warga emas serta kumpulan terpinggir dan mudah terjejas, dan langkah itu termasuk penyediaan kemudahan jaminan kredit yang ditawarkan untuk pembelian rumah dibina di atas tanah wakaf.

“Di samping itu, kerajaan akan terus memberikan keutamaan dalam menyediakan perumahan yang bersepadu, mampan dan boleh didiami untuk golongan berpendapatan rendah selain memudahkan akses pemilikan rumah bagi golongan muda penjawat awam,” katanya.

Memandangkan peningkatan kesejahteraan rakyat merupakan antara keberhasilan utama ditetapkan di bawah kerangka Ekonomi MADANI, Belanjawan 2025 juga akan terus menambah baik sistem perlindungan sosial negara, khususnya untuk meningkatkan jaringan keselamatan sosial dan insurans sosial.

Selain itu, kerajaan akan terus menambah baik Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) serta memperluas Program Payung RAHMAH, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTI MADANI) bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup dan menjana pendapatan tambahan.

“Malaysia kini merupakan negara menua. Justeru, Belanjawan 2025 juga akan terus menambah baik sistem perlindungan sosial untuk warga emas dengan meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan menggalakkan aktiviti sosial secara lebih aktif.

“Kerajaan juga akan meningkatkan peluang pembelajaran sepanjang hayat dan celik kewangan kepada komuniti warga emas, bagi memastikan mereka mendapat akses kepada penjagaan berkualiti, kekal aktif dalam masyarakat dan menjalani kehidupan yang bermakna,” menurut laporan itu.

Seterusnya, bagi memastikan kebajikan individu yang bekerja sendiri dan pekerja gig terpelihara, kerajaan akan memperluas Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan mengukuhkan dasar dan undang-undang berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan