Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail, Niam Seet Wei & Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 memperuntukkan RM421 bilion, terbesar dalam sejarah, diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI, memberi tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.
Membentangkan belanjawan itu di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pada masa yang sama menangani ketirisan kewangan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam.
Inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan tersebut dirangka untuk mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah mewujudkan negara sebagai kuasa ekonomi di Asia serta mencatatkan pertumbuhan mampan dan berdaya tahan.
“Prestasi ekonomi mengatasi jangkaan sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit, menggambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi MADANI.
“Oleh itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 dan 5.3 peratus berbanding antara 4.0 dan 5.0 peratus sebelumnya.
“Tahun depan, kita yakin ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5 dan 5.5 peratus, didokong langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Tumpuan belanjawan yang dibentang Perdana Menteri itu untuk membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.
Anwar berkata kerajaan terus mengekalkan belanjawan mengembang meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Beliau berkata kutipan hasil pada tahun ini diunjur semula lebih tinggi iaitu kepada RM322 bilion berbanding RM308 bilion manakala kutipan hasil 2025 dijangka terus meninggi kepada RM340 bilion.
Anwar berkata cukai yang dipungut masih antara yang terendah iaitu 12.6 peratus kepada KDNK pada 2023 berbanding negara-negara jiran seperti Thailand (16.1 peratus), Filipina (14.1 peratus) dan Singapura (13.7 peratus).
“Lebih jelas kita menanggung subsidi, insentif dan bantuan mencecah RM80 bilion tahun lepas, yang turut dinikmati golongan kaya dan warga asing,” kata beliau.
Oleh itu, reformasi fiskal tahun depan yang akan dilaksanakan adalah lebih agresif mencakupi peluasan hasil cukai secara progresif dan penyasaran subsidi hanya kepada majoriti rakyat yang memerlukan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat dengan peluasan skop SST secara progresif yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
“Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. Sebaliknya, ia akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport,” kata Anwar.
Manakala skop cukai perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.
Kerajaan juga bercadang meluaskan asas cukai secara progesif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2.0 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.
Selain itu, penyasaran subsidi petron RON95 turut dicadang dilaksanakan pada pertengahan tahun depan dengan penjimatan yang dicapai akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Sebagai galakan terhadap penggunaan teknologi rendah karbon, Anwar berkata kerajaan bersetuju memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang 2026.
Bagi menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan (CKD), kerangka insentif cukai EV sedia ada telah distruktur semula manakala galakan penggunaan motosikal elektrik CKD sehingga RM2,400 akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyatakan kesediaan melaksanakan cukai minimum global (GMT) ke atas syarikat multinasional.
Dalam ikhtiar membugarkan ekonomi ke medan jaya, ekonomi Malaysia akan terus dipacu dengan lebih pantas agar mampu bersaing dengan bergaya, berlandaskan kerangka Ekonomi MADANI.
Bagi meningkatkan pelaburan negara, kerajaan bersetuju memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu yang dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.
Anwar turut berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), melalui ikhtiar GEAR-uP, akan meningkatkan pelaburan langsung dalam negara berjumlah RM120 bilion bagi tempoh lima tahun dengan RM25 bilion dilaburkan tahun depan.
Susulan daripada memorandum persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai pada Januari, kerajaan meluluskan Forest City sebagai pulau bebas cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat.
Dalam usaha memperkukuh sektor sawit negara, kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada RM3,150 manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,650.
“Struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah disemak semula mulai 1 Nov 2024. Layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak juga akan dikekalkan,” kata beliau.
Beliau berkata insentif galakan kepada pekebun kecil menanam semula sawit juga diteruskan bagi menggantikan sawit tua yang tidak lagi produktif dengan peruntukan RM100 juta.
Mengenai ketersambungan digital, Anwar berkata kerajaan akan mengumumkan rangkaian kedua 5G sebagai usaha meningkatkan daya saing bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan 5G terutama dalam memacu kes-kes penggunaan 5G oleh industri menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” demikian menurut Perdana Menteri.
Digital Nasional Bhd telah diambil alih oleh entiti swasta susulan liputan 5G yang melepasi 80 peratus kawasan berpendudukan di Malaysia.
Belanjawan 2025 merupakan belanjawan ketiga dibentang oleh Anwar dan merupakan belanjawan MADANI yang kedua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial