KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- National Funds-of-Funds (NFOF) yang ditubuhkan di bawah Khazanah Nasional Bhd akan beroperasi pada November 2024 dengan dana berjumlah RM1 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata NFOF akan menyokong pengurus dana modal teroka melabur dalam syarikat pemula niaga dengan peruntukan RM300 juta bagi 2025.
"Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di bawah Dana Perintis menyediakan RM1 billion untuk turut menyokong aktiviti syarikat pemula niaga tempatan dengan RM200 juta, khusus untuk 2025," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata Cradle Fund diperuntukkan sebanyak RM65 juta untuk membantu syarikat pemula niaga beroperasi dan berkembang ke peringkat serantau serta global.
Peruntukan itu termasuk RM15 juta geran padanan sebagai galakan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bekerjasama dengan syarikat pemula niaga melalui ikhtiar modal teroka korporat.
"Bagi memperkukuhkan ekosistem modal teroka supaya kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing, proses kelulusan aliran dana rentas sempadan di bawah Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing kini dimudah cara dan boleh dibuat berdasarkan jumlah saiz mandat dana," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial