AM

RM2.8 Bilion Disediakan Selenggara Jalan Persekutuan – PM Anwar

18/10/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Sejumlah RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan bagi mengurangkan kes-kes kemalangan akibat keadaan jalan yang tidak selamat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata RM1 bilion dikhaskan untuk segera membaiki jalan bukan utama seperti jalan sekunder, jalan FELDA dan jalan industri serta jalan yang rosak akibat banjir.

“RM450 juta juga dikhaskan untuk kontraktor G1-G4, meningkat ketimbang (berbanding) RM300 juta tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu bagi jalan negeri, Anwar berkata sejumlah RM5.5 bilion dana MARRIS (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya) disediakan dan kerja pembersihan jalan juga ditambah baik meliputi longkang, saliran air, bahu jalan dan persekitaran sehingga selamat digunakan.

“Kerajaan telah meluluskan perolehan sebuah jambatan sementara Bailey kepada semua kerajaan negeri menggunakan peruntukan MARRIS tahun 2025 sebagai persediaan awal kerajaan negeri bagi menangani masalah jalan terputus akibat bencana banjir,” katanya.

Selain itu Anwar berkata RM178 juta diperuntuk bagi memasang lampu-lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan seluruh negara.

“Sejumlah RM30 juta disediakan untuk terus memanfaat peranan 115 Jurutera Daerah sebagai barisan hadapan dalam menyegerakan penurapan Jalan Persekutuan yang berlubang.

“Kerajaan bersetuju memasang High Speed Weight in Motion di lokasi-lokasi terpilih bagi mengekang nahas jalan raya disebabkan kenderaan lebih muatan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan