AM

Sumbangan STR, SARA Tahun Depan Ditingkatkan, Peningkatan Tertinggi Berbanding Sebelumnya

18/10/2024 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun depan ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya, yang merupakan peningkatan tertinggi, memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tahun depan 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000 penerima tahun ini. 

“Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara. 

“Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini. 

Selain itu Anwar berkata bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dinaikkan kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.4 bilion, yang akan meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rakyat miskin.

Anwar berkata melalui peruntukan itu, Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebulan; Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 seorang bagi anak berusia enam tahun dan ke bawah; serta daripada RM150 kepada RM200 seorang bagi anak lingkungan usia tujuh hingga 18 tahun. 

Beliau berkata untuk Wilayah Persekutuan, Kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 dengan kadar maksimum sekeluarga RM500 sebulan dan Anwar turut menyeru semua Kerajaan Negeri untuk turut menambah baik Kadar Bantuan Am Negeri.

“Jika dihitung keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM, isi rumah miskin dengan tiga anak layak menerima bantuan lebih RM13,000 setahun, yakni suatu peningkatan amat ketara berbanding RM11,000 pada masa ini.

“Warga emas miskin pula layak menerima bantuan lebih RM10,000 setahun berbanding RM8,000 yang bermakna tidak ada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang RM1,100 sebulan, dan ini belum mengambil kira bantuan daripada Kerajaan Negeri, Zakat dan Yayasan,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata RM1 bilion disediakan untuk menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas meliputi Program Payung Rahmah yang ditingkatkan peruntukan kepada RM300 juta berbanding RM200 juta. 

Beliau berkata Jualan Rahmah juga akan diperhebat bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap bulan.

“RM700 juta dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang, termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya.

“Selain itu RM250 juta disediakan bagi mengedarkan barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa termasuk memperluas ke kawasan baharu di Magandai, Kota Marudu dan Nanga Pelawan, Bintulu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan