AM

Belanjawan 2025 Tumpuan Minggu Pertama Dewan Rakyat

18/10/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 menjadi tumpuan minggu pertama Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas yang bermula Isnin lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan membentangkan belanjawan ketiga di bawah Kerajaan MADANI dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM421 bilion, terbesar dalam sejarah, diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI, memberi tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.

Berdasarkan takwim Parlimen, Belanjawan 2025 akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari bermula 21 Okt dan perbahasan di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 Nov.

Minggu pertama persidangan Dewan Rakyat turut melakar sejarah, apabila pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga melalui undi belah bahagian pada bacaan kali kedua dan ketiga.

Seramai 206 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 tersebut, yang antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa sesi penggulungan memberikan jaminan bahawa kementeriannya akan membuat keputusan terhadap semua kes tertunggak permohonan mendapatkan kewarganegaraan, iaitu sama ada menerima atau menolak dalam tempoh 12 bulan.

Turut diluluskan minggu ini ialah RUU Ordinan Buruh Sabah (OBS) (Pindaan) 2024, bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja di Semenanjung Malaysia dan 2.06 juta pekerja Sabah adalah setara serta selari dengan standard perburuhan antarabangsa.

RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 yang bertujuan memastikan kesiapsiagaan negara menangani ancaman penyakit berjangkit, juga diluluskan.

Isu mengenai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dibawa menerusi Sesi Penerangan Menteri oleh Saifuddin Nasution, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Minggu pertama juga menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, membentangkan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Selain itu, tiga RUU dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024, RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024 dan RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024.

Persidangan kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan