KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Cadangan kerajaan MADANI untuk meningkatan nilai ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas buah kelapa sawit dilihat akan mengukuhkan daya saing industri sawit negara, menurut Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang kenaan WPL ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada RM3,150 manakala RM3,650 bagi Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, cadangan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan kepada agensi kerajaan itu dapat memperkukuhkan sektor pertanian, khususnya industri sawit, kata Felda.
“Dengan sokongan belanjawan yang menyeluruh ini, Felda dan peneroka akan terus berusaha keras untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan demi mempertingkatkan mutu kehidupan warga peneroka.
“Felda yakin dengan kerjasama padu antara kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, visi untuk mencipta sebuah negara MADANI yang makmur dan rakyat yang sejahtera akan dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi Felda, Felcra Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) kepada RM2.6 bilion daripada RM2.4 billion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial