AM

Belanjawan 2025: Sektor Korporat Disaran Sedia Biasiswa Pelajar Ke Universiti

19/10/2024 01:02 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyarankan agar sektor korporat bermurah hati dan lebih giat menyediakan biasiswa pelajaran sehingga ke tahap universiti, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan membenarkan perbelanjaan seumpamanya layak untuk potongan cukai. 

“Terkait kemudahan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke menara gading, peruntukan keseluruhan RM4 bilion disediakan dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.

“Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut komited memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM18 bilion pada tahun hadapan berbanding RM16.3 bilion pada tahun ini.

Selain itu, Anwar berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan dana pembiayaan pendidikan berjumlah RM500 juta khusus untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). 

Bagi menggalakkan tabungan pendidikan tinggi anak-anak, beliau berkata kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi.

“Di bawah Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI), kerajaan juga bersetuju meluaskan kriteria pemberian geran padanan sehingga RM5,000 ke atas simpanan dalam akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000 berbanding RM4,000, bagi tempoh dua tahun,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan