EKONOMI

Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

19/10/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 

Syarikat itu berkata keputusan kerajaan untuk meneruskan inisiatif tenaga utama, termasuk penerusan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan jumlah pembiayaan RM1 bilion sehingga 2026 menunjukkan komitmen untuk memupuk sektor tenaga boleh baharu yang berkembang maju.

“Belanjawan 2025 adalah satu langkah penting ke hadapan dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju tenaga boleh baharu.

"Dengan memperuntukkan lebih RM300 juta di bawah Dana Peralihan Tenaga Nasional (NETR), berbanding RM100 juta tahun ini, negara bersedia untuk meningkatkan landskap tenaganya,” kata ketua pegawai eksekutif kumpulan Solarvest Davis Chong dalam satu kenyataan.

Beliau berkata permintaan kukuh yang konsisten terhadap tenaga solar dan pemeteran tenaga bersih (NEM) menyokong kepentingan untuk melanjutkan NEM sehingga Jun 2025.

"Langkah ini akan membolehkan pembekal tenaga bersih seperti kami untuk terus menyumbang kepada peralihan tenaga negara,” katanya.

Selain itu, Chong berkata e-rebat sehingga RM70 juta juga disediakan untuk menggalakkan pengguna dan industri membeli peralatan elektrik cekap tenaga, menyokong individu dan perniagaan yang beralih kepada penyelesaian tenaga bersih.

"Ini akan memacu penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih besar, memberikan manfaat yang berkekalan untuk ekonomi dan masyarakat kita.” katanya.

Sementara itu beliau berkata Solarvest berharap untuk dapat mengambil bahagian dalam projek Ladang Solar Hibrid Terapung Kenyir,  hab hidrogen hijau di Terengganu dan baki 10 projek utama NETR.

Selain itu, katanya, syarikat tersebut juga berharap agar dapat menjalin kerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk membantu mencapai matlamat kemampanan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan