EKONOMI

Belanjawan 2025 Lonjak Daya Saing Malaysia, Kukuh Peranan Terajui Kewangan Islam - CGS Malaysia

19/10/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Langkah serta insentif diketengahkan kerajaan dalam Belanjawan 2025, jelas mengutamakan daya saing negara, khususnya dalam melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan serta rakan dagang yang kukuh, kata CGS Malaysia.

Penyedia perkhidmatan kewangan itu berkata pengumuman mengenai pelaksanaan Rangka Kerja Insentif Pelaburan yang strategik dan berimpak tinggi pada tahun depan, akan menambah daya tarikan syarikat semikonduktor, automasi dan teknologi negara serta industri serta ekosistem berkaitan.

“Insentif dan keutamaan ini akan menjadi kunci dalam mengekalkan syarikat multinasional tempatan selain menarik lebih banyak perusahaan multinasional melabur dalam negara, merentasi negeri berbeza menerusi pelbagai kluster ekonomi mengikut kelebihan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CGS Malaysia juga menyifatkan rangka kerja itu menyokong kepelbagaian sektor menerusi aktiviti dengan nilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC), bahan termaju serta insentif cukai untuk peningkatan eksport termasuk aktiviti reka bentuk IC. 

“Kesemua aktiviti ini secara bersama, dapat menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi dalam pelbagai bidang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT), sains data, teknologi kewangan dan teknologi mampan.

“Ini akan turut memacu pelaburan berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menggalakkan aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS)," katanya.

Sejajar dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun depan, CGS Malaysia berkata Belanjawan 2025 memberi peluang kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi daya tarikan negara menerusi peningkatan industri sokongan dan negeri secara saksama.

Menerusi aktiviti ekonomi ini, katanya, Malaysia dengan yakin dapat memacu kerjasama ekonomi serantau dan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) + China yang dicadang diadakan untuk kali pertama pada tahun depan.

“Sebagai sebuah institusi kewangan serantau dengan hubungan erat China, kita berada dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan kepakaran dan mengeksport penyelesaian ini.

“Pada masa sama, dapat mempromosi syarikat-syarikat patuh Syariah di peringkat serantau, terutama di China dan dana padanan RM100 juta bagi tujuan itu adalah sesuatu yang dialu-alukan,” katanya.

Sehubungan itu, CGS Malaysia berhasrat menjalin kerjasama dengan rakan untuk membangunkan penyelesaian patuh Syariah bagi rakyat negara ini selain menampung keperluan serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan