AM

Agihan Dana EFT RM250 Juta, Ambil Kira Pelbagai Aspek - Nik Nazmi

19/10/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Agihan dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) sebanyak RM250 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 kepada negeri-negeri akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk langkah yang dilakukan kerajaan negeri dalam meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kriteria agihan itu akan ditambah baik dengan 50 peratus peruntukan, antaranya bergantung kepada prestasi perbelanjaan kerajaan negeri berbanding 30 peratus pada masa ini.

“Kita ada beberapa aspek yang dipertimbangkan termasuk melihat keluasan hutan yang ada di setiap negeri dan apa langkah-langkah kerajaan negeri lakukan untuk meningkat pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

"Kalau dahulu lebih kepada kuantiti dan saiz hutan yang ada tetapi sekarang kita hendak menekankan kepada kualiti iaitu apa mereka lakukan secara konkrit," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Karnival Penghijauan Malaysia dan KL Green Symphony 2024 di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata agihan dana turut mengambil kira kepatuhan kerajaan negeri terhadap Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dan syarat berkaitan penggantian kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dinyahwarta.

Sementara itu Nik Nazmi berkata peruntukan RM80 juta yang disediakan di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) dan Smart Patrol di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dalam Central Forest Spine (CFS) merupakan bukti pengiktirafan kerajaan kepada pasukan itu.

Beliau berkata renjer komuniti memainkan peranan penting membanteras aktiviti penyeludupan haram, pencerobohan tanah, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar demi memastikan kelestarian khazanah biodiversiti negara dapat dikekalkan.

Nik Nazmi berkata daripada RM80 juta itu sebanyak RM27 juta diperuntukan kepada kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,  RM33 juta kepada renjer komuniti Sabah dan Sarawak manakala RM20 juta lagi kepada komuniti Orang Asli.

Semalam Anwar dalam menerusi pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peningkatan Dana EFT kepada RM250 juta berbanding RM200 juta sebelum ini bagi menyokong usaha melindungi hutan dan hidupan liar, selain meningkatkan lantikan renjer komuniti Orang Asli kepada 2,500 orang berbanding 2,000 orang sebelum ini dengan peruntukan RM80 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan