AM

Kadar Gaji Minimum, Bantuan Khas Beri Kelegaan Dan Bantu Rakyat

19/10/2024 04:32 PM

JOHOR BAHRU, 19 Okt (Bernama) -- Pengumuman kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM200 kepada RM1,700  berbanding kadar semasa RM1,500 sebulan dilihat mampu membaiki taraf hidup pekerja swasta di negara ini.

Pengarah syarikat pelancongan Muhammad Ismail Sajiman, 39, menyifatkan 'berita' itu sedikit sebanyak melegakan rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup yang agak mencabar ketika ini.

"Saya berpandangan kenaikan gaji minimum dari RM1,500 ke RM 1,700 amat perlu dan ia satu langkah sangat baik dan bijak oleh kerajaan MADANI yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini kerana ia bertepatan dengan kos sara hidup sangat tinggi pada masa kini dan keperluan yang mendesak kepada masyarakat, khususnya pekerja swasta. 

"Kenaikan ini perlu bagi memastikan kelangsungan hidup masyarakat dapat diteruskan dengan baik, khususnya bagi mereka yang bekeluarga," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 kepada penjawat awam dan RM250 untuk pesara.

Haslydia Azizan, 42 turut menyambut baik pengumuman itu yang disifatkannya mampu membantu meringankan sedikit keresahan rakyat.

Beliau yang juga seorang pendidik berkata selain gaji minimum, pengumuman bantuan khas RM500 dianggap 'hadiah ' daripada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan menerusi agensi berkenaan dapat memantau harga barang yang lazimnya akan turut meningkat.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan MADANI atas keprihatinan untuk kakitangan awam dengan pemberian bonus RM500 pada Februari depan dan pilihan kenaikan gaji pada Disember 2024.

"Bagi pengumuman Forest City sebagai bebas cukai pula, ia bagus untuk menjana economi negeri ini dan Malaysia amnya namun mekanisma menangani kos sara hidup masih kurang jelas.

"Harga bahan mentah akan mengalami peningkatan, jadi untuk semua rakyat akan terus terasa kesan peningkatan harga jadi harap pihak kerajaan tidak terlepas pandang," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Sementara itu, Pengerusi Pelaburan Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han ketika dihubungi berkata pengumuman kerajaan meluluskan Forest City  sebagai Pulau Bebas Cukai dilihat sebagai satu langkah penting dalam menarik pelaburan serta menjayakan pembangunan jangka panjang di kawasan berkenaan.

"Pengumuman ini sebahagian usaha berterusan sejak setahun lepas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City. 

"Ia penting untuk menarik pelaburan yang menumpukan pada sektor-sektor seperti kewangan, pelancongan dan hartanah.

"Kerajaan negeri juga melihat peluang untuk menjadikan Forest City sebagai pusat kewangan pelengkap kepada Singapura, memanfaatkan lokasi strategiknya bagi menarik pelabur antarabangsa," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan