POLITIK

Pemuda MCA perlu Kukuhkan Lagi Hubungan Dalam BN - Dr Mah

19/10/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Pemuda MCA perlu mengukuhkan lagi hubungan erat dalam kalangan Pemuda Barisan Nasional (BN) sebagai penggerak penting kerjasama gabungan berkenaan, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon.

Dr Mah berkata sebagai barisan hadapan MCA, sayap pemuda parti berkenaan perlu memainkan peranannya ke arah itu selain membawa suara masyarakat Cina dan menyelesaikan isu berkenaan melalui mekanisme yang tersedia dalam BN.

Beliau berkata Pemuda MCA perlu peka serta mengambil pendirian yang tegas dalam menyatakan pendapat berkaitan kepentingan sejagat, khususnya kaum Cina.

“Kita perlu kuat dan tabahkan diri untuk menghadapi segala cabaran. MCA pernah berada di titik paling rendah, tetapi dengan sokongan dan kegigihan ahli serta pemimpin, kita kembali bangkit untuk berjuang demi kebebasan, demokrasi dan keadilan.

“Saya menyeru kepada Pemuda MCA untuk bangun menunjukkan keberanian anda demi mempertahankan maruah serta nilai-nilai kebebasan, demokrasi dan keadilan,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA di Wisma MCA hari ini.

Beliau berucap dalam bahasa Mandarin dan terjemahan teks ucapannya dalam bahasa Melayu diedarkan kepada media di sini.

Dr Mah berkata kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan dan Mahkota di Johor baru-baru ini membuktikan peranan MCA untuk meraih sokongan pengundi seterusnya membantu kemenangan gabungan berkenaan.

Beliau berkata kemenangan itu juga membuktikan pengundi sudah kembali yakin dengan model kerjasama pelbagai parti BN dan menghargai pembangunan serta kesejahteraan yang dibawa BN selama lebih 60 tahun.

“Pemuda MCA sebagai orang politik perlu mempunyai deria yang sensitif, dan pantas bertindak dengan tepat pada bila-bila masa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan