KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam perlu dijadikan antara tonggak kepada pembangunan yang mampan bagi negeri Sabah, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata beberapa perkara dalam Belanjawan 2025 yang ditekan Perdana Menteri perlu diberikan perhatian seperti Inisiatif Kampung Angkat MADANI.
“Perdana Menteri juga minta supaya menteri-menteri termasuk Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) mengambil kampung tertentu untuk dijadikan kampung angkat supaya kita dapat faham segala yang berlaku di kampung itu dan bagaimana kita boleh, sebagai kerajaan sama ada Persekutuan mahupun negeri, berusaha menyelesaikan masalah mereka.
“Perdana Menteri juga menegaskan usaha dan ikhtiar Ketua Menteri Sabah untuk mengetengahkan dan mengangkat apa yang disebut sebagai ekonomi biru tentang pentingnya hasil laut sama ada dari segi perikanan ataupun tenaga boleh baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Mengulas mengenai program berkenaan, Fahmi berkata beliau bersama Pejabat Perdana Menteri akan meneliti manfaat, kos dan perkara yang perlu dipertimbangkan bagi penambahbaikan program itu pada masa hadapan.
“Sekiranya Perdana Menteri ingin melaksanakan program yang serupa, tetapi mungkin sedikit berbeza pelaksanaannya untuk tahun depan, kita akan permudah formatnya untuk menyampaikan segala perancangan yang dilaksanakan kerajaan.
“Ia termasuk yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan kita juga akan manfaatkan Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk usaha ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial