BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

Penyediaan Dana Pembiayaan Pendidikan Stem Bantu Lahir Graduan Berkebolehan

19/10/2024 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Penyediakan dana pembiayaan pendidikan khusus kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan graduan berkebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan berkata inisiatif berkenaan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menggalakkkan lebih ramai pelajar mengikuti bidang STEM, yang merupakan satu daripada elemen kritikal bagi memacu ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata inisiatif itu yang merupakan antara perkara diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2025 semalam, disambut baik oleh PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam belanjawan itu, katanya Anwar bukan sahaha telah memberikan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan pendidikan PTPTN, tetapi juga akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

“Dalam usaha kerajaan menggalakkan penabungan untuk tujuan pendidikan tinggi anak-anak, kerajaan juga bersetuju agar insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan dalam Simpan SSPN dilanjutkan hingga tahun taksiran 2027.

“Malah menerusi inisiatif ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) kerajaan juga bersetuju memperluas kriteria pemberian geran padanan sehingga RM5,000 atas simpanan pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000 berbanding hanya RM4,000 sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya PTPTN amat berharap masyarakat Malaysia terus menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi selaras dengan usaha kerajaan memberikan manfaat penabungan melalui insentif Belanjawan 2025. 

“Masyarakat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kerajaan MADANI yang amat prihatin dalam menyediakan keperluan masyarakat terutamanya dari aspek bantuan kewangan bagi persediaan anak-anak untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025 semalam antara lain mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta dana pembiayaan pendidikan PTPTN khusus untuk pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM di IPTA.

Selain itu, pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Simpan SSPN dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun dan peluasan kriteria pemberian Geran Sepadan Simpan SSPN melalui ikhtiar GAPAI.

Dalam usaha kerajaan menggalakkan penabungan untuk tujuan pendidikan tinggi anak-anak, kerajaan bersetuju agar insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan dalam Simpan SSPN dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan