AM

Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja UTM 2024

19/10/2024 10:45 PM

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat ke Majlis Santapan Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM RGD) 2024 di sini malam ini.

Berangkat sama Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM pada kira-kira 8.20 malam disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Azman Mokhtar.

Majlis santapan dwitahunan anjuran UTM itu dimulakan dengan persembahan video UTM gala dinner 2024 sebelum disusuli dengan sembah ucapan oleh Ahmad Fauzi dan majlis penyampaian replika cek kepada wakil penerima biasiswa serta penajaan.

UTM RGD merupakan platform bagi mengumpulkan dana yang dianjurkan institusi pendidikan tinggi awam itu sejak 2012.

Jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul menerusi penganjuran UTM RGD 2024 adalah sebanyak RM6.4 juta, yang disumbangkan oleh kerajaan negeri, syarikat korporat, pemain industri, alumni UTM, petugas UTM dan individu perseorangan.

Ahmad Fauzi dalam sembah ucapan berkata hingga kini UTM telah menganugerahkan 883 biasiswa endowmen kepada pelajar UTM dengan kos keseluruhan sebanyak RM25.9 juta. 

Beliau berkata setakat ini jumlah dana endowmen UTM yang terkumpul ialah RM159.7 juta.

Selain biasiswa, katanya lebih 100 pelajar UTM daripada golongan B40 telah menerima bantuan sara hidup sebanyak RM450 sebulan untuk tempoh dua semester pengajian.

“UTM bukan sahaja berusaha mengumpulkan dana untuk membantu pelajar tempatan, tetapi bantuan juga dihulurkan kepada pelajar antarabangsa khususnya dari Palestin,” katanya.

Bagi membiayai kos pengajian pelajar dari Palestin, Ahmad Fauzi berkata UTM telah mewujudkan Program Serambi Al-Quds, yang hingga kini telah menaja 10 pelajar negara itu untuk mengikuti program Ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang dan fakulti sejak tahun lepas.

“Saya amat terharu dengan sokongan, keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua penyumbang dalam membantu pihak kami menjayakan agenda kecemerlangan UTM. Sumbangan ini amat besar ertinya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan