KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi disaran supaya menganjurkan program aktiviti gaya hidup sihat dengan lebih kerap terutama bagi menyemarakkan hubungan silaturahim sesama petugas.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur dan Komunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata penganjuran aktiviti berkenaan yang melibatkan petugas di pelbagai jabatan mampu mewujudkan semangat kerja berpasukan antara mereka.
“Pada saya program seperti ini semestinya perlu, di kementerian pun kami ada aktiviti sebegini dengan Ketua Setiausaha (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) sendiri akan memimpin kita semua berjalan, brisk walk dan sebagainya.
“Jadi, jika agensi lain buat aktiviti seperti ini memang baik, digalakkanlah untuk tujuan silaturahim … yang penting ialah kerja berpasukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta program Bernama Night Walk 2024 di Wisma Bernama di sini malam ini.
Mano bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin melepaskan 500 peserta program Bernama Night Walk 2024 yang melalui jarak perjalanan sejauh lima kilometer bermula dari Wisma Bernama dan melalui Taman Tasik Titiwangsa.
Mano berkata program ini bukan hanya menjadi platform untuk mengukuhkan lagi hubungan antara pegawai dan kakitangan, tetapi juga menggalakkan orang ramai untuk bersukan bersempena dengan Hari Sukan Negara.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata pihaknya menerima penyertaan yang amat menggalakkan daripada petugas Bernama untuk program tahun ini sehingga terpaksa menutup pendaftaran tiga jam selepas ia dibuka.
“Saya rasa gembira kerana petugas Bernama mengambil peluang membawa keluarga mereka ke acara ini dan untuk tahun ini, kita menerima kira-kira 500 penyertaan dan apa yang mengejutkan ialah selepas tiga jam, kita terpaksa menutup pendaftaran kerana terlalu ramai.
“Tahun lepas hampir 400 peserta … maknanya petugas kita memberi sokongan yang amat baik terhadap program yang kita lakukan. Matlamat kita hanya untuk merapatkan ukhuwah dan pada penghujung tahun ini, kita ada beberapa lagi acara lain,” katanya.
Beliau berkata bagi penganjuran program kali ini, pihaknya menerima sokongan dan kerjasama daripada kira-kira 20 rakan strategik yang memberi sumbangan antaranya AmBank Group, EXIM Bank, SME Corp. Malaysia, Malaysia Debt Ventures, RW Nutriogreen, McDonalds, GL Play by Gamuda Land, Vida Zero, AEON, Mydin, Nixorderm Malaysia, Avillion Port Dickson, Nestle dan F&N.
Selain itu, sebanyak 300 peserta turut berpeluang mendapat hadiah cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan termasuk perkakas elektrik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial