EKONOMI

Abang Johari Optimis Syarikat Penerbangan Sarawak Bakal Beroperasi Dua Bulan Lagi

19/10/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis syarikat penerbangan milik negeri itu akan mula beroperasi dalam tempoh dua bulan lagi.

“(Isu) Syarikat belon (kapal terbang) kita mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh dua bulan, jadi kita akan ada kapal terbang sendiri.

“Kapal terbang ini boleh membawa anak Sarawak dari Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 yang diadakan di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan wakil rakyat dari Sarawak. 

Abang Johari berkata perkhidmatan kapal terbang milik Sarawak itu juga bakal memudahkan pengunjung dari luar berkunjung ke negeri tersebut sekali gus dapat mempromosikan tempat tarikan pelancong.

“Kita boleh bawa pelancong ke dua Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Sarawak iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah,” katanya. 

Abang Johari sebelum ini dilaporkan berkata rancangan Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri dijangka direalisasikan hujung tahun ini dan langkah tersebut akan melonjakkan industri pelancongan serta perhubungan ke negeri itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan